CGS-CIMB mulakan liputan terhadap IGB dengan saranan 'tambah', TP RM2.50  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB mulakan liputan terhadap IGB dengan saranan 'tambah', TP RM2.50 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - CGS-CIMB Research memulakan liputan ke atas IGB Bhd. dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran RM2.50 berikutan prospeknya yang cerah pasca pemulihan pandemik COVID-19. 

 

Selain itu, syarikat hartanah itu juga menawarkan hasil dividen yang stabil pada 5.3% bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY23. 

 

Penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, pemulihan pasaran hartanah dan penjanaan kewangan dalam REIT dilihat sebagai titik kukuh kepada kumpulan.

 

Katanya, 3 perniagaan teras kumpulan iaitu pembangunan hartanah, aset komersial dan peruncitan juga dijangka mencatat pemulihan yang kukuh secara berperingkat pada FY22. 

 

"Kami menjangkakan ia akan disokong oleh sentimen pengguna, pemulihan dalam jualan runcit dan kedatangan pengunjung, pengurangan rebat sewa dan peralihan daripada bekerja di rumah kepada pejabat," katanya dalam nota kajian. 

 

IGB adalah pemaju hartanah yang telah mempelbagaikan asetnya kepada peruncitan dan komersial. 

 

Aset peruncitan utamanya diletakkan di bawah IGB REIT yang dimiliki 53.2% manakala komersial pula adalah sebahagian daripada IGB Commercial REIT yang disenaraikan baru-baru ini.

 

Kebanyakan perniagaan IGB tertumpu di Malaysia manakala sebahagiannya di Asia, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

 

Sharizan berkata, selepas penyenaraian IGB Commercial REIT pada September lalu, suntikan Southkey Mega Mall (dalam IGB REIT) akan menambah lagi nilai kepada kumpulan.

 

"Sementara itu, kami juga berpendapat, hasil penjualan tanah Blackfriar sebanyak RM591 juta pada suku keempat 2021 juga akan menyokong strategi pertumbuhan," jelasnya. 

 

Menurut beliau, dividen IGB yang diperbaharui dan pendedahan yang lebih baik dengan pelabur akan menjadi 2 faktor utama yang boleh meningkatkan kecairan dagangan sahamnya. 

 

"Pemangkin kepada penarafan semula ini bergantung kepada untung bersih suku keempat yang kembali pulih, suntikan aset baharu dalam IGB REIT dan pemulihan sektor perhotelan," tambah beliau. 

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2021, IGB merekodkan kerugian bersih sebanyak RM58.68 juta, berbanding keuntungan bersih bagi tempoh sama tahun lalu apabila ia merekodkan perbelanjaan cukai sekali sahaja sebanyak RM56.2 juta selepas cukai tertunda berhubung pelupusan pelaburan hartanah dalam IGB Commercial REIT.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 28% kepada RM201.3 juta daripada RM279.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan jumlah hasil IGB akan pulih secara sederhana dalam FY21 dipacu pemilihan kukuh suku keempat ekoran pembukaan semula ekonomi dan sentimen pengguna dan hartanah yang bertambah baik. 

 

"Pada masa sama, pertumbuhan pada FY22 juga akan menyaksikan momentum yang bertambah baik, antaranya turut disumbangkan menerusi segmen hospitaliti yang positif," jelas beliau. - DagangNews.com