CGS-CIMB kekal saranan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan, tidak jangka LLP lonjak pada suku pertama 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB kekal saranan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan, tidak jangka LLP lonjak pada suku pertama 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 April - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan dengan tidak menjangkakan lonjakan suku ke suku (QoQ) dalam peruntukan kerugian pinjaman (LLP) pada suku pertama tahun 2023 (1Q23).

 

Pengekalan saranan tersebut berdasarkan potensi pemangkin penarafan semula jangkaan firma terhadap pemulihan pertumbuhan pendapatan bukan faedah pada 2023 dan potensi hapus kira tindanan pengurusan yang akan mengurangkan LLP bank, tambahnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata tiada jangkaan lonjakan LLP bagi 1Q23 berikutan peningkatan kecil sebanyak RM157.8 juta (atau 0.5%) dalam jumlah peruntukan bank pada dua bulan pertama tahun 2023 (2M23) kepada RM34.4 bilion pada akhir Februari.

 

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa LLP 1Q23 akan menghampiri paras RM1.3 bilion pada suku keempat tahun 2022 (4Q22), namun ia akan meningkat 20 hingga 40% YoY daripada asas lebih rendah iaitu RM1.04 bilion pada suku pertama tahun 2022 (1Q22),” katanya dalam nota hari ini.

 

Tambahnya, risiko LLP lebih tinggi daripada jangkaan pada 1Q23 akan timbul jika terdapat peningkatan ketara dalam jumlah peruntukan pada Mac 2023.

 

“Pertumbuhan pinjaman meningkat sedikit daripada 5% tahun ke tahun (YoY) pada akhir Januari 2023 kepada 5.2% YoY pada akhir Februari 2023 tetapi kami mengunjurkan pertumbuhan lemah sebanyak 4 hingga 5% untuk 2023,” tambahnya.

 

Peningkatan tersebut adalah berikutan pertumbuhan pinjaman perniagaan daripada 2.1% YoY pada akhir Januari 2023 kepada 2.3% YoY akhir Februari 2023 manakala momentum pinjaman isi rumah dikekalkan sebanyak 5.3% YoY pada akhir kedua-dua bulan Januari dan Februari 2023.

 

Firma itu mengunjurkan pecutan pertumbuhan pinjaman dalam dua hingga tiga bulan akan datang kepada 5.3 hingga 5.5% YoY memandangkan pemulihan kukuh permohonan dan kelulusan pinjaman pada Februari 2023.

 

“Bagaimanapun, kami masih melihat risiko penurunan untuk momentum pinjaman kepada bawah 5% YoYdalam jangka panjang, memandangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lemah sebanyak 4.4% bagi 2023 berbanding 8.7% pada 2022. Untuk 2023, kami meramalkan pinjaman pertumbuhan 4 hingga 5%,” jelasnya.

 

Di samping itu, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) industri perbankan meningkat daripada 1.73% akhir Januari 2023 kepada 1.76% akhir Februari disebabkan peningkatan meluas GIL sebanyak 2.1% pada Februari 2023 berbanding kenaikan 0.4% dalam jumlah pinjaman.

 

“Peningkatan nisbah GIL adalah dalam jangkaan kami kerana kami mengunjurkan nisbah GIL lebih tinggi sebanyak 2% pada akhir 2023,” jelasnya.

 

Hasil dividen dilihat menarik pada 5.2% dalam tahun ini dan pilihan sektor ini adalah RHB Bank dengan harga sasaran (TP) RM7.63 diikuti Hong Leong Bank (TP RM25.30) dan Public Bank (TP RM5.20). -DagangNews.com