Cendana komited hidupkan kembali sektor seni dan budaya | DagangNews Skip to main content

Cendana komited hidupkan kembali sektor seni dan budaya

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (Cendana) komited menyokong pemulihan sektor seni dan budaya dengan pelaksanaan aktiviti-aktiviti serta penganjuran program seperti Art In The City (AITC).

Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, pembukaan kembali sektor seni dan budaya selepas perintah kawalan pergerakan yang lalu telah menyaksikan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Katanya, sebanyak RM22 juta peruntukan telah diluluskan dalam 14 bulan terakhir yang memberi manfaat kepada lebih daripada 8,000 penggiat budaya.

"Sebagai tambahan kepada geran yang diluluskan, kami berharap dapat mengubah haluan sektor kami kembali ke ekonomi kreatif melalui platform budaya seperti AITC," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2021, Kementerian Komunikasi dan MultiMedia (KKMM) telah melaksanakan pelbagai program industri kreatif melalui inisiatif PRISMA dengan jumlah RM89 juta untuk menggiatkan industri seni dan budaya selain daripada tambahan RM100 juta yang diumumkan dalam pelan PEMULIH.

Mengulas lanjut, Izan Satrina berkata, AITC 2021 akan berlangsung dari Oktober hingga Disember 2021 dengan pelbagai aktiviti mempromosi seni, kreativiti dan imaginasi rakyat Malaysia.

AITC 2021 merangkumi Festival KLWKND yang akan menonjolkan Bandaraya Kuala Lumpur melalui dimensi sejarah, seni, reka bentuk, budaya dan warisan. 

Program KLWKND merangkumi beberapa aktiviti utama di Godown KL, Panggung Bandaraya DBKL, Pasar Seni, dan REXKL di mana setiap lokasi mempunyai "festival kampung" tersendiri dalam jarak berdekatan di bandar Kuala Lumpur. 

Aktiviti lain yang dinantikan adalah pementasan tradisional Panggung Rakyat yang dilaksanakan dengan kerjasama Bandaraya Kuala Lumpur dan komuniti seni tradisional tempatan di seluruh negara yang menampilkan Kompang Jidor, Zapin Melayu, Kuchipudi, Suara Sabah, Mah Meri dan Menora yang akan disiarkan atas talian melalui laman Facebook Cendana Malaysia. 

"Susulan pembukaan kreatif industri, kerjasama dengan komuniti seni, rakan strategik perniagaan dan kerajaan, Cendana komited untuk menonjolkan impak seni dan kekuatannya untuk mengatasi cabaran dan memupuk jiwa bangsa untuk masa hadapan. Kami berharap aspirasi ini akan dipertimbangkan dalam Rancangan dan Belanjawan Malaysia ke-12 2022, ” tambah Izan Satrina.-DagangNews.com