Capital A lancar entiti baharu airasia brand co. untuk pacu perkembangan jenama di seluruh dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A lancar entiti baharu airasia brand co. untuk pacu perkembangan jenama di seluruh dunia

Rudy Khaw
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei - Syarikat induk bagi syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia AirAsia, Capital A Bhd memperkenalkan sebuah entiti baharu dikenali sebagai 'airasia brand co. (abc.)', untuk memacu jangkauan serta impak jenama airasia di seluruh dunia. 

 

abc. yang bakal diketuai Rudy Khaw sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes sebagai Pengerusi akan mengambil alih pemilikan semua portfolio harta intelek (IP), termasuk jenama serta tanda dagangan seluruh Kumpulan Capital A.

 

Dengan lebih 16 tahun pengalaman dalam pengurusan jenama, Rudy berpengalaman sebagai Ketua Pegawai Penjenamaan AirAsia dan airasia Superapp yang mana beliau berjaya menerajui beberapa inisiatif penjenamaan strategik yang telah membawa pertumbuhan hasil ketara.

 

Rudy berkata, seiring usaha penjenamaan sejak 22 tahun lalu, jenama airasia kini telah menjadi jenama kebanggaan ASEAN dan di seluruh dunia. 

 

"Kami amat teruja untuk memulakan usaha baharu ini dan membawa jenama airasia untuk terbang dengan lebih tinggi. 

 

"Melalui abc., kami akan meneroka cara baharu dan menarik untuk menghubungkan orang ramai dalam memperluas jenama airasia merentasi pelbagai industri dan mengembangkan potensi sebenarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tony pula berkata, pelancaran airasia brand co. menandakan satu lagi peristiwa penting bagi mereka semua.

 

 

airasia
                                Tan Sri Tony Fernandes

 

Katanya, jenama airasia adalah sesuatu yang dibanggakan kerana ia telah dibina oleh para Allstars dan pihaknya mengiktiraf potensi besarnya dalam menjadi lebih daripada sekadar jenama syarikat penerbangan. 

 

"Saya percaya bahawa kepakaran Rudy dalam pengurusan jenama dan kemampuan beliau dalam memacu pertumbuhan, kami akan dapat mencari ruang baharu untuk mempertingkatkan kesetiaan pengguna terhadap jenama kami.

 

"Dengan mempelbagaikan perkhidmatan kami kepada pelesenan, pembarangan dan penciptaan kandungan, kami akan menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan jenama dan memperluaskan jenama kami serta mencipta pengalaman bermakna melangkaui transaksi bagi berjuta-juta peminat airasia di seluruh dunia," katanya.

 

Bagi membawa jenama airasia ke tahap lebih tinggi, abc. akan menumpukan perkhidmatannya kepada bidang utama iaitu pembangunan, termasuk pelesenan jenama strategik, kerjasama jenama dan peluang dagangan.

 

Perkhidmatan tersebut melibatkan sektor berkaitan perjalanan dan gaya hidup, serta penciptaan kandungan yang akan membolehkan jenama itu meningkatkan pendedahan, menjangkau khalayak yang lebih luas dan menambah nilai yang sangat besar kepada ekosistem airasia. - DagangNews.com