KUALA LUMPUR 5 Mei - Peningkatan caruman majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) daripada 13% kepada 20% akan merugikan syarikat dan akhirnya kepada ekonomi negara, kata Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC).
Pada 30 April yang lalu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) telah mencadangkan kenaikan 7% dalam caruman majikan kepada KWSP bagi mereka yang berpendapatan bawah RM4,000 untuk meningkatkan dana persaraan pekerja.
Konsortium itu tidak bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan keseluruhan prospek global masih tidak menentu walaupun ekonomi Malaysia mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan daripada krisis global.
Presiden MCMTC, Callum Chen berkata walaupun kerajaan telah mengambil langkah mempromosi perdagangan dan pelaburan untuk mengembangkan ekonomi, kos operasi perniagaan di Malaysia telah meningkat dengan ketara sejak Januari 2023.
“Pertama, daripada kos tenaga yang lebih tinggi akibat peningkatan besar-besaran sebanyak 440% dalam pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) daripada 3.7sen kepada 20sen bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi dan kedua, kenaikan mendadak dalam kos buruh,” katanya dalam satu kenyataan.

Callum menambah bahawa kos buruh telah melonjak disebabkan kenaikan gaji minimum sebanyak 25% daripada RM1,200 kepada RM1,500 yang turut memberi kesan ke atas kos lebih masa serta caruman KWSP.
Selain itu, gaji minimum untuk kelayakan bayaran gaji lebih masa ditingkatkan untuk mereka yang berpendapatan bawah RM4,000 berbanding daripada RM2,000 sebelum ini.
“Selain menyukarkan majikan dan syarikat untuk terus bertahan, permintaan penambahan 7% dalam caruman KWSP akan merugikan syarikat dan akhirnya kepada Ekonomi,” ujar beliau.
Callum berkata terdapat lebih daripada 90% syarikat di Malaysia adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), di mana sebahagian besar daripada mereka masih belum pulih daripada pandemik memandangkan negara masih dalam peringkat pemulihan.
“Dengan sebarang peningkatan drastik dalam kos operasi, lebih banyak syarikat akan terpaksa menaikkan harga, mengurangkan bilangan pekerja, mengecilkan atau gulung tikar, apabila perniagaan tidak mampan lagi.
Mereka yang telah berjaya bertahan akan meneruskan dengan automasi yang akan lebih menjimatkan kos tanpa masalah tambahan kakitangan,” tambahnya. -DagangNews.com








