Cabaran mengekalkan pekerja dalam ekosistem bakat Malaysia MADANI | DagangNews Skip to main content

Cabaran mengekalkan pekerja dalam ekosistem bakat Malaysia MADANI

Oleh Dr Mutijah Mohamad dan Nor Athirah Abdul Rahim

PEKERJA berkualiti merupakan aset yang amat penting di dalam organisasi. Kejayaan organisasi banyak bergantung kepada kualiti yang dimiliki oleh para pekerja mereka.

 

Keupayaan para pekerja dalam memahami matlamat dan aspirasi jangka masa organisasi membantu organisasi mencapai  matlamat yang disasarkan dan memacu organisasi ke arah produktiviti dan prestasi yang maksimum.

 

Kebiasaannya organisasi berhasrat mengekalkan pekerja-pekerja yang memenuhi ciri-ciri yang memenuhi standard dan keperluan organisasi.

 

Pengekalan pekerja ditakrifkan sebagai niat untuk kekal dalam hubungan pekerjaan dengan organisasi atau majikan dalam jangka masa yang panjang.

 

Ia membantu pekerja untuk terus mendapat penggajian dan meneruskan kelangsungan hidup dan pihak majikan akan memperoleh bekalan sumber manusia dan kepakaran pekerja terutamanya daripada golongan profesional untuk menggerakkan operasi organisasi.

 

Langkah tersebut kebiasaannya juga dikaitkan dengan kesanggupan pekerja untuk terus kekal setia berkhidmat di organisasi tersebut dalam tempoh masa yang lama, dan tidak berhasrat untuk meletakkan jawatan atau bertukar ke organisasi lain.


 

Nor Athirah Abdul Rahim
                        Dr MUTIJAH MOHAMAD

 

 

Selaras dengan kepesatan teknologi di peringkat global dan nasional, serta kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin berkembang maju di Malaysia, skop tugas para pekerja juga semakin berubah dan meningkat dari masa ke semasa.

 

Apatah lagi dengan ledakan ICT pada masa kini, terdapat pelbagai peluang pekerjaan yang tinggi menanti terutama di sektor berkaitan data raya, perlindungan data, kecerdikan buatan, robotik serta berkaitan keselamatan siber.

 

Sebagai buktinya, statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)  dalam siaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Mac dan Suku Pertama 2023 melaporkan bilangan penganggur yang lebih rendah direkodkan pada Mac 2023 iaitu pada 588,700 orang.

 

Nor Athirah Abdul Rahim
                 NOR ATHIRAH ABDUL RAHIM

 


Kementerian Sumber Manusia mengguna pakai Klasifikasi Standard Pekerjaan Malaysia (MASCO) dan sehingga kini, penggunaan MyCOL 2022/2023 menggunakan senarai MASCO 2020 untuk menentukan tahap kemahiran pekerjaan.

 

Lapan daripada sembilan kumpulan pekerjaan utama MASCO adalah separa mahir atau mahir seperti MASCO satu: Pengurus, MASCO dua: Profesional, MASCO tiga: Profesional teknikal dan bersekutu, MASCO empat: Pekerja sokongan perkeranian, MASCO lima: Pekerja perkhidmatan dan jualan, MASCO enam: Pekerja mahir pertanian, perhutanan, ternakan dan perikanan, MASCO tujuh: Pekerja kraf dan perdagangan yang berkaitan dan MASCO lapan: Pengendali dan pemasang loji dan mesin.

 

Namun begitu, terdapat banyak kajian melaporkan masalah pengekalan dan pusing ganti pekerja yang kerap dalam Malaysia.

 

Laporan-laporan rasmi melaporkan bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyumbang terhadap masalah pusing ganti pekerja seperti kegagalan organisasi untuk merancang strategi yang baik untuk mengekalkan pekerja mereka.

 

Malah, pekerja berhenti kerja dan meninggalkan organisasi ialah kerana ketidakpuasan dalam bekerja, kurang sokongan dan maklum balas daripada penyelia dan majikan, kurang pendedahan kepada latihan-latihan yang bersesuaian, sistem penggajian yang tidak memuaskan serta tiada peluang peningkatan kerjaya.

 

Akibat daripada kadar pusing ganti yang tinggi dan pemberhentian pekerja akibat faktor dalaman organisasi seperti kegawatan ekonomi, penstrukturan semula organisasi, penggunaan teknologi baharu serta penutupan organisasi, telah menyebabkan kos operasi yang berganda untuk penggantian semula pekerja.

 

Kajian oleh sekumpulan penyelidik daripada Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) pada tahun 2021 menekankan bahawa ganjaran kepada pekerja bukan sahaja merangkumi keprihatinan terhadap keadaan kerja fizikal pekerja tetapi juga kepuasan yang diperoleh oleh pekerja.

 

Ia penting dalam membantu pekerja mengurangkan tekanan sewaktu bekerja dan meningkatkan motivasi pekerja.  


 

parafrasa

 


Persekitaran yang selesa juga amat signifikan dalam memastikan kepuasan bekerja dalam kalangan pekerja seperti penyediaan keperluan asas seperti pencahayaan yang sesuai, ruang kerja yang kondusif, laras suhu yang sesuai, jaminan keselamatan fizikal dan keselamatan peralatan pejabat.

 

Sebaliknya persekitaran kerja yang tidak memuaskan serta kekurangan sumber yang terhad memberikan kesan yang negatif kepada para pekerja. Keadaan akan bertambah buruk sekiranya pekerja mengalami masalah kesihatan akibat daripada persekitaran yang tidak ergonomik atau kondusif. 

 

Pendedahan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda memaklumkan bahawa pada tahun 2017, terdapat 20,000 penjawat awam yang bersara awal setahun disebabkan tekanan di tempat kerja.

 

Dalam Sesi Dialog Bersama Industri anjuran Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) pada Mac yang lalu, kerajaan menyeru agar sektor awam dan swasta bekerjasama untuk mengenal pasti dan menangani cabaran serta mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada industri dan rakyat.

 

Kerajaan Madani diakui berhadapan dengan pelbagai cabaran dari aspek kemajuan teknologi yang pesat, pengangguran, ketidakpadanan kemahiran, isu takungan gaji, diskriminasi, tenaga kerja yang meningkat usianya serta perlindungan sosial dalam ekosistem bakat di Malaysia.

 

Malah, laporan Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid selaku Penyelidik Kanan Pusat Kecemerlangan Industri Rel, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut memetik laporan Kesatuan Keretapi Antarabangsa (International Union of Railways) bahawa industri kereta api dijangka menghadapi kekurangan pekerja mahir yang ketara pada tahun-tahun akan datang.

 

Laporan tersebut menyatakan menjelang 2025, industri akan memerlukan tambahan 1.2 juta pekerja mahir di seluruh dunia. Jurang ini disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk lapisan tenaga pekerja mahir yang sudah memasuki usia persaraan, kekurangan pelaburan dalam latihan dan pembangunan khususnya latihan berasaskan TVET, dan kurangnya minat golongan muda untuk meneruskan kerjaya dalam industri teknikal yang dianggap lebih sukar.


 

parafrasa

 


Situasi ketidakseimbangan pengekalan kerja dan pusing ganti akibat daripada pilihan berhenti kerja oleh pekerja itu sendiri atau ekoran masalah organisasi tetap mewujudkan masalah pembekalan sumber tenaga dalam pelbagai bidang dan sektor kepada negara.

 

Kegagalan mengatasi masalah ini akan menyebabkan jurang kekurangan pekerja dalam negara yang akan merugikan pendapatan organisasi dan negara Malaysia secara umumnya.

 

Oleh itu, Malaysia Madani yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 yang berasaskan kepada enam prinsip utama iaitu kemampanan, kepercayaan, rasa hormat, inovasi dan keprihatinan perlulah segera mengenal pasti mekanisme penyelesaian masalah bagi memastikan pembangunan pasaran buruh di Malaysia tidak terjejas.  - DagangNews.com

 

Dr. Mutijah Mohamad dan Nor Athirah Abdul Rahim adalah pensyarah dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Shah Alam, Selangor

 

parafrasa