Bursa Malaysia Derivatives lancar sesi dagangan malam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia Derivatives lancar sesi dagangan malam

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - Bursa Malaysia Derivatives Berhad (Bursa Malaysia Derivatives) melancarkan Sesi Dagangan Malam Selepas Waktu (T+1) yang akan meningkatkan daya saing dan daya tarikan produk Bursa dan keseluruhan pasaran derivatif Malaysia di kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives, Samuel Ho berkata sesi itu tersedia untuk kontrak derivatif indeks komoditi dan ekuitinya, dan dijangka memberi petanda baik untuk pasaran derivatif Malaysia dengan faedah jelas yang ditawarkannya.

 

"Dengan penemuan harga yang lebih baik, Dagangan Selepas Waktu boleh digunakan sebagai alat lindung nilai dan pengurusan risiko, membolehkan pelabur menguruskan pendedahan risiko mereka kepada turun naik harga sebagai tindak balas kepada sebarang pergerakan pasaran utama yang berlaku semasa waktu pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.

 

"Baru-baru ini, jumlah dagangan Bursa untuk FCPO pada suku ketiga tahun ini mencatatkan momentum pertumbuhan positif dengan sejumlah 11.8 juta kontrak, meningkat daripada 10.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

“Perdagangan Selepas Waktu adalah penting untuk melindung nilai dalam pasaran minyak sawit mentah yang sangat tidak menentu. Peserta pasaran kini akan mempunyai jalan untuk mengurus pendedahan risiko mereka dengan lebih baik berdasarkan perkembangan global masa nyata," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dagangan Selepas Waktu yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia Derivatives adalah lanjutan daripada waktu dagangan pasaran semasa Bursa selaras dengan amalan pasaran global. 

 

Peserta pasaran kini boleh berdagang antara 9.00 malam hingga 11.30 malam dari Isnin hingga Khamis, sekali gus merapatkan jurang antara waktu dagangan pasaran tempatan dan asing. 

 

"Ia bukan sahaja akan mewujudkan peluang dagangan baharu, tetapi ia juga akan menarik penyertaan antarabangsa yang lebih besar.

 

"Dengan mengukuhkan hubungan antara pasaran derivatif Malaysia dan pasaran global, penemuan harga dan keberkesanan produk kami sebagai penyelesaian pengurusan risiko akan dipertingkatkan, justeru menarik pelabur global untuk berdagang dalam pasaran kami," katanya.

 

Pelabur yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Dagangan Selepas Waktu boleh melayari www.bursamalaysia.com untuk maklumat lanjut. -DagangNews.com