KUALA LUMPUR 3 Nov - Bertemakan ‘Kesejahteraan Kewangan: Jom Digital dengan Yakin’, Bank Simpanan Nasional (BSN) mengadakan beberapa aktiviti berkaitan literasi dan rangkuman kewangan sepanjang Oktober, bersempena dengan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2022 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM).
BSN telah merangka program literasi kewangan yang menyeluruh merangkumi golongan B40, komuniti di pedalaman Sabah dan Sarawak serta murid-murid melibatkan lebih 10,000 orang murid di 26 buah sekolah seluruh Malaysia.
‘Bengkel Literasi Kewangan bersama B40: Ringgit Dijaga, Kewangan Sejahtera’ telah diadakan bersama penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Setapak, Kuala Lumpur.
Bengkel ini dijalankan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) bertujuan untuk menyediakan ruang dan peluang bagi komuniti di sini mendapatkan pengetahuan asas mengenai perancangan kewangan, aliran tunai dan simpanan.
Para penduduk turut didedahkan dengan teori pengetahuan dan pemahaman serta simulasi tentang bagaimana untuk menguruskan kewangan sekaligus meningkatkan simpanan mereka.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, pengurusan kewangan yang baik merupakan perkara yang penting dalam pembangunan masyarakat.
"Atas dasar itu, BSN menyahut usaha yang dilaksanakan oleh FEN dengan turut memperkasakan program-program berkaitan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mendidik mereka membuat keputusan kewangan dengan lebih baik sekaligus dapat meningkat simpanan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aktiviti literasi kewangan BSN turut dijalankan bersama masyarakat pedalaman melalui ‘Taklimat Literasi di Cawangan Bank Bergerak’ (CBB) di Sabah dan Sarawak.
Empat lokasi taklimat yang telah dijalankan adalah di Keningau dan Tawau, Sabah serta Pakan dan Kabong, Sarawak.
Melalui taklimat ini, masyarakat didedahkan dengan pendidikan kewangan serta perbankan digital terutamanya elemen keselamatan dan jenayah kewangan. Turut diadakan adalah aktiviti kuiz, cabutan bertuah, pertandingan mewarna dan pertandingan ‘Jom Menabung’.

CBB merupakan platform perbankan yang disediakan oleh BSN bagi membantu masyarakat di kawasan pedalaman terutamanya Sabah dan Sarawak mendapatkan akses perbankan seperti transaksi pengeluaran wang tunai melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pembukaan akaun dengan Kad Debit BSN Visa, simpanan tunai, pembayaran bil-bil utiliti, simpanan di BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) dan tambah nilai prabayar.
Bagi memastikan tabiat menyimpan dapat dipupuk dari peringkat akar umbi, BSN turut melaksanakan ‘Jelajah Sekolah Celik Kewangan BSN 2022’ di 26 buah sekolah (rendah dan menengah) melibatkan lebih 10,000 orang murid di seluruh Malaysia.
Jelajah sekolah ini diadakan bertujuan untuk menyampaikan taklimat berkenaan literasi kewangan kepada murid-murid selain turut menggalakkan mereka membuat simpanan. - DagangNews.com








