KUALA LUMPUR 13 Jun - BSA The Software Alliance telah meningkatkan kerjasama dengan kerajaan bagi menangani kes-kes perisian cetak rompak serta pematuhan am undang-undang harta intelek perisian dan jenayah siber.
Sejak pandemik bermula, program penguatkuasaan BSA yang menumpukan pada perlindungan hak harta intelek perisian telah berkurangan pada tahun 2020 dan 2021.
Pengarah Kanan BSA, Tarun Sawney berkata, perisian tidak berlesen adalah tidak selamat dan juga tidak stabil serta tidak boleh digunakan dalam perniagaan.
“Sebagai sebuah organisasi, kami secara aktif bekerjasama dengan kerajaan di rantau ini untuk memastikan tahap pematuhan perisian yang lebih tinggi.
"Tiada pencipta yang boleh menghasilkan reka bentuk berkualiti menggunakan perisian yang menyalahi undang-undang dan apabila reka bentuk ini dibuat untuk jalan raya, jambatan, landasan kereta api dan infrastruktur, maka syarikat juga mengambil risiko yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sawney berkata, firma kejuruteraan dan pembinaan adalah antara syarikat yang dilaporkan paling kerap melanggar undang-undang, maka agensi kerajaan yang memperoleh perkhidmatan mereka untuk projek infrastruktur dan pembangunan negara perlu berhati-hati.

“Pihak kerajaan tidak boleh berkompromi dengan firma-firma yang menggunakan perisian haram untuk projek pembangunan negara.
"Mereka merupakan perniagaan besar yang memenangi kontrak yang lumayan. Jalan pintas menggunakan perisian yang digodam tidak boleh diterima atau dibenarkan," katanya.
Awal bulan ini, Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menjalankan serbuan yang ke-9 yang menyasarkan aktiviti perisian cetak rompak di Kedah.
Serbuan turut dilakukan terhadap syarikat-syarikat dalam industri pembuatan, kejuruteraan jitu dan pembinaan. Perisian tanpa lesen dengan jumlah nilai sebanyak RM657,975 termasuk V-Ray, perisian berkeupayaan 3D untuk grafik komputer, telah ditemui dipasang semasa serbuan.
Di Malaysia, Akta Hak Cipta 1987 menetapkan bahawa hanya perisian berlesen dan sah sahaja yang boleh digunakan dalam persekitaran perniagaan.
Pelanggaran undang-undang bermakna syarikat dan pihak pengurusannya boleh didenda antara RM2,000 dan RM20,000 untuk setiap salinan perisian yang menyalahi undang-undang. Selain itu, pemimpin perniagaan juga boleh dipenjarakan sehingga lima tahun.
BSA telah menjalankan program peningkatan kesedaran dan penguatkuasaan dengan KPDNHEP sejak beberapa tahun yang lalu untuk menggalakkan penggunaan perisian komputer yang sah, terutamanya disebabkan oleh kedudukan Malaysia yang mempunyai kadar perisian tidak berlesen sebanyak 51%. - DagangNews.com








