KUALA LUMPUR 27 Feb - Tekanan inflasi di Malaysia dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat walaupun kadar pertumbuhannya semakin perlahan pada suku pertama 2023.
Ini berikutan inflasi yang lebih stabil bagi barangan bukan makanan sejajar dengan panduan yang diberikan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Januari lalu, demikian menurut Public Investment Bank Research.
Dari segi pengeluaran, seperti panduan yang diberikan Kementerian Kewangan dalam laporan tinjauan ekonominya, pertumbuhan indeks harga pengeluar (IHPR) dijangka menjadi sederhana dengan jangkaan kos input global yang stabil, memberi kelegaan kepada tekanan inflasi daripada pelepasan kos pengeluar kepada pengguna.
Tertakluk kepada pelarasan dalam had harga minyak runcit dan langkah kawalan harga, firma itu menjangkakan inflasi utama negara akan mencecah purata antara 3% dan 3.5% pada 2023.
"Peruntukan subsidi tahun ini dijangka berjumlah RM58.6 bilion, menurun daripada RM67.4 bilion pada 2022, justeru, kami percaya bahawa kebanyakannya disebabkan penurunan harga komoditi serta potensi peralihan beransur-ansur ke arah skim subsidi bersasar.
"Walaupun terdapat rujukan kepada 'pelaksanaan pendekatan progresif ke atas subsidi yang disasarkan', masih belum ada kejelasan mengenai pelan rasionalisasi subsidi, yang kini masih menjadi persoalan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan kepada jangkaan Bank Dunia, pemansuhan sepenuhnya subsidi bahan api - yang sebelum itu diunjur menelan belanja sekitar RM37.3 bilion pada 2022, mungkin akan mengakibatkan kenaikan 9% kepada harga pengguna.
Menurutnya, dengan amaran yang diberikan BNM mengenai risiko penurunan yang semakin meningkat mengelilingi prospek pertumbuhan ekonomi, kedua-dua luaran dan dalaman, firma itu menjangkakan BNM mungkin akan berhenti seketika menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dan mengekalkannya tidak berubah pada 2.75% ketika mesyuarat MPC pada Mac dan Mei akan datang.
"Bagaimanapun, keputusan ini bergantung kepada data, kami melihat kemungkinan kenaikan lagi 25 mata asas pada separuh kedua 2023 kepada 3% pada 2H23.
"Namun, ini bergantung pada kemungkinan langkah dasar domestik yang drastik, seperti potensi pengenalan langkah subsidi bersasar, seperti bayangan yang diberikan kerajaan dalam Bajet 2023, termasuk perkembangan harga komoditi global," jelasnya.

Baca : Kadar inflasi di Malaysia pada Januari 2023 menurun kepada 3.7% - DOSM
Sementara itu, Kenanga Research berkata, tekanan inflasi dijangka lebih rendah pada suku akan datang terutamanya didorong peningkatan dalam kecekapan rantaian bekalan global dan permintaan global yang lembap.
Jelasnya, masih terdapat potensi risiko yang boleh mendorong peningkatan inflasi, seperti faktor tarikan pelancongan yang lebih tinggi dan ketidaktentuan geopolitik yang tinggi.
Ini, ditambah dengan potensi pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan pada separuh kedua 2023, mungkin terus menyumbang kepada tekanan inflasi.
"Mengenai OPR, kami berpendapat bank pusat telah mencapai kitaran akhir normalisasi dasar dan dijangka mengekalkan OPR tidak berubah dalam mesyuaratnya, Mac ini, disebabkan petanda inflasi yang semakin perlahan dan kelembapan ekonomi global yang masih berterusan.
"Tetapi, sebarang keputusan selanjutnya adalah berdasarkan kepada arah aliran makroekonomi dan dasar fiskal kerajaan," jelasnya.
Malah, firma itu menjangkakan kemungkinan BNM akan mengekalkan OPR pada 2.75% sehingga akhir tahun ini, namun, sebarang perubahan kepada persekitaran ekonomi pada bulan-bulan akan datang boleh mendorong bank pusat untuk mempertimbangkan semula pelarasan kadar tersebut.
Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Jumaat lalu menunjukkan indeks harga pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia semakin mereda kepada 3.7% pada Januari 2023 berbanding 3.8% pada Disember 2022, menunjukkan trend penurunan sejak Oktober 2022.
Kenaikan inflasi di Malaysia pada bulan tersebut disumbangkan oleh kumpulan restoran dan hotel (6.8%), makanan dan minuman bukan alkohol (6.7%) dan pengangkutan (4%).
Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding Disember 2022.
Peningkatan kumpulan ini terutamanya disebabkan oleh komponen makanan di luar rumah yang menyederhana kepada 9.3% berbanding 9.6% pada Disember 2022, manakala makanan di rumah meningkat 5.1% berbanding bulan sebelumnya. - DagangNews.com








