Bimbang terhadap kemelesetan global, Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek Westports | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bimbang terhadap kemelesetan global, Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek Westports

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Westports Holdings Berhad kerana bimbang terhadap kemelesetan global.

 

Firma itu berkata, aktiviti mengumpul dana untuk Westports 2.0 dijangka bermula kira-kira setahun selepas konsesi dimuktamadkan dan ia boleh berlaku selepas separuh kedua 2023.

 

"Walaupun merekodkan keputusan yang baik setakat ini, kebimbangan kemelesetan global dan kenaikan kadar faedah menyelubungi prospek jangka pendek, memberikan tekanan kepada jumlah dagangan dagangan global, yang boleh memberi kesan kepada prestasi Westports pada separuh kedua tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan jumlah pemprosesan sebanyak 2.55 juta TEU pada suku pertama 2023 dengan kebanyakan jumlah itu disokong oleh penghantaran intra-Asia.

 

Pengendali pelabuhan itu melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM236.88 juta pada 1QFY23, lebih rendah daripada RM248.75 juta pada suku yang sama pada 2022.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersihnya bertambah baik, meningkat kepada RM183.59 juta daripada RM151.85 juta pada 1QFY22, berikutan ketiadaan Cukai Makmur.

 

Firma itu berkata, permintaan terus kukuh debgab sebahagian besarnya didorong oleh eksport yang kompetitif dan Pelaburan Langsung Asing (FDI), yang menyaksikan permulaan operasi beberapa kilang pembuatan di sekitar pelabuhan.

 

Katanya, walaupun kumpulan itu optimis bahawa jumlah kontena akan kekal, ia mengekalkan panduan pertumbuhan jumlah kontena satu digit yang rendah untuk FY23 disebabkan kebimbangan kemelesetan global.

 

"Pada April 2023, jumlah pemprosesan kontena meningkat 5% dan kami menjangkakan pertumbuhan jumlah kontena bagi FY23 adalah sebanyak 2%," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga RM3.85 sesaham. - DagangNews.com