BIMB catat untung bersih RM118.1 juta pada 1QFY23, pendapatan melonjak 42.6% kepada RM1.1 bilion | DagangNews Skip to main content

BIMB catat untung bersih RM118.1 juta pada 1QFY23, pendapatan melonjak 42.6% kepada RM1.1 bilion

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM118.1 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (1QFY23), meningkat 11.5% berbanding RM105.9 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, hasil kumpulan dalam suku berakhir 31 Mac 2023 itu dilaporkan turut meningkat 42.6% kepada RM1.1 bilion daripada RM774 juta tahun lalu.

 

Pengukuhan pendapatan bersih kumpulan disumbangkan oleh peningkatan pendapatan bukan berasaskan dana yang mengukuh RM60 juta atau 132.4% dipacu pendapatan pelaburan serta laba bersih lebih tinggi daripada transaksi pertukaran asing.

 

Prestasi lebih baik ini diterjemah kepada pendapatan sesaham (EPS) bernilai 5.33 sen dan pulangan ekuiti (ROE) bersih tahunan sebanyak 7%.

 

Menurut BIMB, pembiayaan kasar naik 10.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM66.2 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM77.8 bilion dengan kenaikan sebanyak RM9.7 bilion atau 14.3% YoY.

 

Ini telah didorong oleh pertumbuhan lebih baik dalam jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan (CASATIA) pada RM33 bilion, menjadikan komposisi CASATIA teguh pada 42.5%.

 

Sementara itu, BIMB mempunyai kedudukan modal yang baik dengan Nisbah Jumlah Modal kekal teguh pada 21.2%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Muazzam Mohamed berkata jumlah aset Bank Islam setakat akhir Mac 2023 berada pada RM92.1 bilion dengan pertumbuhan 14.4% YoY, dipacu pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.

 

 

Mohd Muazzam Mohamed
Mohd Muazzam Mohamed

 

 

“Kedudukan modal dan kecairan yang sihat juga mencerminkan bahawa momentum pertumbuhan dan asas kami kekal teguh,” tambah beliau.

 

Setakat 31 Mac 2023, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 1.37%, angka yang kekal lebih baik berbanding purata industri sebanyak 1.75%.

 

Mohd Muazzam berkata kumpulan itu telah mengintegrasikan pertimbangan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam keputusan pembiayaan dan pelaburan bagi memastikan aktiviti perniagaan menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi yang mampan. -DagangNews.com