KUALA LUMPUR 14 April - Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) meraikan dan menyantuni lima keluarga asnaf yang terdiri daripada golongan yatim piatu, petani dan kurang berkemampuan menerusi Program Ikhlas Ramadan BERNAS.
Ketua Jabatan Pengurusan Bekalan dan Skim BERNAS, Mohamad Solhi Mohd Salleh berkata, keluarga yang diraikan ini dipilih daripada kariah Masjid Almuzakkirin, Kampung Chawi, Telok Intan iaitu sebahagian komuniti Kilang Beras BERNAS (KBB) Changkat Lada, Perak.
Katanya, keterujaan untuk menyambut Aidilfitiri jelas terpancar di wajah ahli keluarga mereka yang dibawa membeli-belah baju raya mengikut pilihan masing-masing di salah sebuah pasar raya terkemuka di Manjung.
"Selain daripada persiapan raya, mereka turut menerima wang tunai dan dirai bersama-sama komuniti Sungai Ranggam dan kariah masjid di Majlis Berbuka Puasa anjuran BERNAS.
"Golongan asnaf ini tidak kita lupakan agar mereka dapat meraikan keistimewaan bulan mulia Ramadan mahupun kemeriahan Aildilfitri seperti orang lain. Menerusi program ini, BERNAS berbesar hati dapat menceriakan hari mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Salah seorang penerima bantuan yang merupakan yatim piatu, Siti Mariam Othman berasa gembira dengan bantuan baju raya yang dihulurkan BERNAS.
“Melalui bantuan yang dihulurkan ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung daripada segi perbelanjaan menjelang hari raya", katanya yang turut menyara dua adiknya.

Seorang lagi penerima bantuan, Mohd Shahril Ibrahim berkata, dia yang bekerja sebagai petani amat bersyukur menerima bantuan persiapan raya untuk anak-anaknya.
"Alhamdullilah, sangat gembira melihat anak-anak seronok memilih pakaian mereka dengan warna sedondon," katanya.


Sementara itu, sebanyak 15 keluarga asnaf yang telah dikenalpasti turut menerima sumbangan kotak makanan keperluan harian seperti beras, susu, gula, minyak masak, di samping wang tunai di Majlis Berbuka Puasa BERNAS.
Di dalam program sama, BERNAS turut menyalurkan bantuan tunai kepada lima buah masjid iaitu Masjid Al-Muzakkirin Kampung Bukit Chawi, Masjid Nurul Hidayah, Masjid Muhajirin, Masjid Jumhuriah dan Surau Ibadur Rahman.
Bantuan ini diberikan sebagai nilai tambah kepada usaha mempergiatkan lagi program-program di masjid dan surau sepanjang Ramadan. - DagangNews.com








