Berjaya Corp nafi sertai perbincangan wujudkan resort kasino di Forest City | DagangNews Skip to main content

Berjaya Corp nafi sertai perbincangan wujudkan resort kasino di Forest City

Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

KUALA LUMPUR 26 April - Berjaya Corp Bhd (BCorp) menafikan pengasasnya Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun menyertai rundingan untuk memulihkan Forest City bernilai AS$100 bilion (RM477.60 bilion) dengan membina kasino seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, BCorp berkata artikel itu mengandungi maklumat tidak tepat yang menuduh penglibatan konglomerat itu dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung projek Forest City.

 

“Kami ingin menjelaskan bahawa Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan sedemikian, dan menyangkal dakwaan tidak tepat yang dibentangkan dalam artikel itu,” katanya. 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: PM Anwar nafi berunding dengan taikun buka kasino di Forest City

 

 

 

 

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan media yang mendakwa bahawa kerajaan kononnya dalam perbincangan awal untuk mengeluarkan lesen kasino di Forest City, Johor.

 

“Tiada…mereka bangkit (berkenaan) lesen kasino…itu tipu,” katanya kepada media pada majlis MADANI Muhibbah Aidilfitri hari ini.

 

Beliau mengulas sama ada Malaysia akan mempertimbangkan pengeluarkan lesen kasino kedua untuk pembangunan di Forest City.

 

Bloomberg dalam laporan 25 April 2024, mendakwa Kerajaan Malaysia `sedang dalam perbincangan awal' dengan taikun mengenai pembukaan kasino di Forest City, memetik sumber sebagai usaha memulihkan projek hartanah bernilai AS$100 bilion (RM478.35 bilion).- DagangNews.com