Belanjawan 2023 : Pengumuman mengenai cukai dilihat sebagai 'progresif dan diagihkan semula' - Maybank IB  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2023 : Pengumuman mengenai cukai dilihat sebagai 'progresif dan diagihkan semula' - Maybank IB 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Feb - Belanjawan 2023 membuktikan komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal memandangkan defisit belanjawan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikurangkan kepada 5% tahun ini (daripada 5.6% pada 2022) dengan sasaran 3.2% menjelang 2025. 

 

Malah, Maybank Investment Bank (IB) menyifatkan pengumuman mengenai cukai pendapatan dilihat sebagai 'progresif dan diagihkan semula'. 

 

Ketika pembentangan belanjawan Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan pengurangan cukai pendapatan individu sebanyak 2% kepada golongan berpendapatan rendah hingga sederhana berbanding 0.5 hingga 2% bagi individu berpendapatan tinggi. 

 

Selain itu, ia turut merangkumi pengumuman mengenai cukai keuntungan modal, cukai global minimum, cukai tidak langsung dan hasil (bagi barangan mewah, duti eksais dikenakan terhadap vape dan rokok elektronik dengan penggunaan cecair nikotin dan gel) termasuk meningkatkan pematuhan cukai (pusingan ketiga Program Pendedahan Sukarela Khas-SVDP).

 

Menurut firma itu, pengurangan cukai pendapatan dalam kalangan B40 dan M40 akan memberi kelegaan kepada mereka yang bergelut dengan kenaikan kos inflasi makanan dan minuman (F&B).

 

"Sementara itu, pengesahan semula mengenai pengenaan duti eksais dalam pasaran rokok elektronik dan produk vape memberi isyarat bahawa produk sah akan dapat memperkenalkan produk vape berasaskan nikotin mereka sendiri ke pasaran domestik tidak lama lagi yang akan membolehkan mereka mempelbagaikan lagi aliran pendapatan baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan cukai bermula tahun ini dengan membabitkan antara lebih RM35,000 hingga RM100,000 bagi golongan berpendapatan rendah hingga sederhana.

 

Pengurangan ini dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.

 

Dalam pada itu, Maybank IB berkata, subsidi bahan api dijangka kekal setakat ini di tengah-tengah penjimatan daripada prospek harga minyak mentah yang lebih rendah dianggarkan AS$80 setong tahun ini berbanding AS$100 setong pada 2022. 

 

"Penerusan subsidi bahan api buat masa ini adalah selaras dengan jangkaan kami di tengah-tengah keresahan orang ramai dan perniagaan mengenai kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan, serta kadar inflasi yang tidak menentu, terutamanya makanan.

 

"Walaupun dengan harga minyak mentah yang lebih rendah setakat tahun ini berbanding 2022 yang 
menyebabkan penurunan harga petrol RON97 tanpa subsidi, jurang antara harga subsidi dan pasaran RON95 dan diesel masih besar," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu juga menyifatkan, sektor korporat boleh menarik nafas lega kerana tidak ada cukai langsung dilaksanakan seperti Cukai Makmur (dalam Belanjawan 2022) meskipun kewangan kerajaan tertekan. 

 

"Seperti yang kami jangkakan, penstrukturan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan subsidi tidak ada pada tahun ini, yang mana, antaranya, ia boleh menyebabkan ganggunan kepada permintaan/penggunaan semula dan kos operasi dengan mengambil kira ekonomi dan tekanan margin yang sudah perlahan," tambahnya. - DagangNews.com