Bank Dunia semak semula unjuran KDNK kepada 6% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Dunia semak semula unjuran KDNK kepada 6%

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Mac - Bank Dunia mengenalpasti 3 faktor utama mengapa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur lebih rendah tahun ini. 

 

Pada Disember lalu, Bank Dunia mengunjurkan KDNK negara akan berkembang 6.7% tetapi ia disemak semula lebih rendah pada kadar 6% menerusi Kemaskini Laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi April 2021 bertajuk 'Uneven Recovery' yang dikeluarkan hari ini. 

 

Menurutnya, keadaan itu dipengaruhi situasi semasa jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat, ketidakstabilan politik dan pelancaran vaksin COVID-19 yang lebih perlahan dalam kalangan negara-negara maju. 

 

Pertumbuhan ini dijangka disokong oleh permintan domestik yang meningkat beransur-ansur diikuti pelaksanaan vaksin dan peningkatan dalam permintaan luaran. 

 

Pemulihan ekonomi Malaysia bergantung kepada sejauh mana berkesannya program vaksin yang mampu meliputi sekurang-kurangnya 30% daripada populasi menjelang Ogos ini. 

 

"Bagaimanapun, dijangkakan dalam tempoh sederhana, ekonomi tidak mungkin dapat kembali ke paras sebelum pandemik COVID-19. 

 

"Prospek pertumbuhan masih lagi dibayangi risiko penurunan. Tambahan pula, sebarang kelewatan dalam pelaksanaan program vaksin akan menyebabkan perintah berkurung dilaksanakan semula di negara ekonomi maju sekali gus memperlahankan pertumbuhan global," katanya dalam laporan berkenaan. 
 

Risiko penurunan ini juga termasuklah dari segi kejayaan mengawal gelombang ketiga dan keberkesanan program vaksin yang mana akan mempercepatkan pemulihan permintaan domestik dan meningkatkan keyakinan pelabur.  

 

Menurut Bank Dunia, jumlah rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan dijangka berkurangan secara berperingkat dan kekal pada paras prapendemik sehingga 2022. 

 

"Unjuran ini dibuat dengan mengambil kira pemulihan bagi pekerjaan dan pendapatan isi rumah masih tidak sekata dengan sektor pelancongan dan perkhidmatan tinggi lain sukar untuk pulih. 

 

"Malah, ia juga bergantung kepada langkah pemulihan pekerjaan dan bantuan secara berterusan oleh kerajaan bagi melindungi isi rumah miskin dan rentan sementara menunggu pemulihan penuh ekonomi," katanya. 

 

Selain impak pandemik COVID-19, Bank Dunia juga melihat ketidaktentuan politik di peringkat domestik juga memberi cabaran kepada ekonomi bagi tempoh jangka pendek. 

 

Pada 14 Januari lalu, negara berada di bawah proklamasi darurat yang dilihat secara tidak langsung menjejaskan keyakinan pelabur, tambahnya. - DagangNews.com