KUALA LUMPUR 13 April - PLUS Malaysia Bhd menasihatkan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah) dan Johor, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum pukul 9 pagi, sempena cuti Aidilfitri.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat seperti Perak (Tanjung Malim-Ipoh), Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan memasuki lebuh raya di antara 12 tengah hari hingga 3 petang.
Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan balik kampung dan kembali ke Lembah Klang sempena cuti perayaan Aidilfitri di Lebuhraya Utara-Selatan pada 19 April hingga 1 Mei 2023.
Jelasnya, saranan tersebut diberikan berikutan jangkaan sebanyak 2 juta kenderaan sehari bakal menggunakan Lebuhraya PLUS pada hari-hari puncak musim perayaan yang akan datang.
"Oleh itu, sila jangkakan kesesakan yang mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, TTA merupakan salah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan PLUS pada musim perayaan bagi membantu orang ramai merancang perjalanan seterusnya menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa.
"Namun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya.

"Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti perayaan Aidilfitri, tetapi juga bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang selepas bercuti," katanya.
Katanya, bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada tempoh yang sama (19 April hingga 1 Mei), pengguna lebuh raya daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum pukul 9 pagi.
Di samping jadual TTA katanya, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik dan maklumat trafik terkini di lebuh raya.
"Pengguna lebuh raya sentiasa dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pengguna lebuh raya menggunakan mod pembayaran RFID ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID.
"Ini dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain. PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-dompet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka," katanya. - DagangNews.com








