Autocount Dotcom sasar raih RM30.88 juta daripada penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Autocount Dotcom sasar raih RM30.88 juta daripada penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

(Dari kiri) Barisan pengarah Autocount iaitu Pengarah bebas bukan eksekutif, Chin Chee Seng; Pengarah bebas bukan eksekutif, Datuk Ng Wan Peng; Pengarah Urusan, Choo Yan Tiee; dan Pengerusi Eksekutif, Encik Choo Chin Peng; diikuti pihak Malacca Securites, Pengarah Urusan, Lim Chia Wei; dan Pengerusi Eksekutif, Lim Peng Cheong di majlis pelancaran prospektus pada 14 April 2023
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR, 14 April - Autocount Dotcom Berhad menyasarkan untuk menjana RM30.88 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, yang dijadualkan disenaraikan pada 9 Mei 2023.

 

Kumpulan tersebut telah melancarkan prospektusnya pada 14 April untuk pelaksanaan IPO dalam proses menuju penyenaraiannya di Pasaran ACE dan permohonan untuk Terbitan Awam telah bermula dan akan ditutup pada 25 April 2023, jam 5:00 petang.

 

Pengerusi Autocount Dotcom, Choo Chin Peng berkata proses penyenaraian itu bertujuan meningkatkan kehadiran serantau kumpulan dan mempergiatkan usaha penyelidikan & pembangunan (R&D) dalam meningkatkan penawaran perisiannya.

 

“Kami percaya pada kuasa inovasi dan komited untuk menolak sempadan apa yang mungkin dalam industri perisian kewangan, terutamanya dengan peralihan ke arah perisian berasaskan awan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,

 

Kumpulan itu merancang untuk menggunakan kira-kira 56% atau RM17.3 juta daripada hasil yang akan diperoleh daripada IPO bagi pengembangan serantaunya dan menubuhkan pejabat fizikal di rantau ASEAN.

 

Sementara itu, 17% lagi atau RM5.2 juta akan digunakan untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi mengembangkan ciri produk sedia ada, yang akan membantu Autocount Dotcom mengembangkan ciri produk sedia adanya.

 

IPO Autocount Dotcom terdiri daripada terbitan awam kira-kira 93.6 juta saham biasa baharu (Terbitan Awam) dan tawaran untuk jualan kira-kira 44 juta saham sedia ada (Tawaran untuk Dijual) pada harga terbitan 33sen sesaham dan permodalan pasaran semasa penyenaraian adalah sebanyak RM181.7 juta.

 

Daripada jumlah Terbitan Awam itu, 27.5 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia, diikuti 11 juta saham bagi pekerja yang layak dan penyumbang kepada kejayaan kumpulan, manakala, 55.1 juta saham untuk permohonan melalui penempatan kepada pelabur terpilih.

 

Sementara itu, 44 juta saham sedia ada ditawarkan untuk dijual melalui penempatan persendirian kepada Pelabur Terpilih.

 

Malacca Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO Autocount Dotcom.

 

Kumpulan tersebut secara asasnya terlibat dalam pembangunan dan pengedaran perisian pengurusan kewangan yang terdiri daripada perakaunan, POS dan penggajian di bawah jenama AutoCount.

 

Sehingga kini, mereka telah menjual kira-kira 70,000 lesen perisian untuk digunakan oleh kira-kira 210,000 perniagaan dan syarikat, terutamanya di Malaysia dan Singapura. -DagangNews.com