Armada Claire FPSO dijual RM88.9 juta kurangkan hutang Bumi Armada pada 2QFY23 – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Armada Claire FPSO dijual RM88.9 juta kurangkan hutang Bumi Armada pada 2QFY23 – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Penjualan Armada Claire FPSO (penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung) pada harga AS$20 juta (lebih kurang RM88.9 juta) mengurangkan hutang Bumi Armada Berhad, kata MIDF Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, hasil jualan akan diiktiraf dalam keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) dan setelah ditolak yuran transaksi, akan digunakan untuk mengurangkan hutang kumpulan.

 

Bumi Armada memaklumkan anak syarikatnya, Armada Balnaves Pte Ltd telah menyelesaikan penjualan Armada Claire FPSO, yang pada mulanya dilancarkan untuk beroperasi di blok WA-49-L Balnaves Field di barat laut Australia.

 

“Keputusan untuk menjual Armada Claire adalah akibat kerugian kumpulan itu dalam pertikaian undang-undang selama enam tahun terhadap bekas pelanggannya Woodside Energy Julimar Pty Ltd (WEJ) di Australia.

 

WEJ telah menamatkan kontrak sewa bernilai RM1.46 bilion untuk Armada Claire pada 2016,” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma itu positif terhadap prospek kumpulan tersebut dan telah mengambil kira ketiadaan Armada Claire dalam penilaian terhadap prestasi kewangan Bumi Armada.

 

Secara keseluruhannya, MIDF Research menyukai Bumi Armada disebabkan operasinya teguh dan stabil dalam pasaran FPSO dan operasi luar pesisir lain termasuk pembinaan dasar laut Caspian, berdasarkan kekuatan harga minyak mentah yang meningkat dan stabil serta peningkatan permintaan untuk lebih banyak projek penerokaan dan pengeluaran (E&P) di huluan, selepas wabak.

 

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 80sen sesaham, disandarkan pada PER sebanyak 6.3 kali kepada pendapatan sesaham (EPS) FY23 sebanyak 12.7sen,” tambahnya. -DagangNews.com