KUALA LUMPUR 25 April - AmInvest Research meningkatkan pendapatan boleh agih Pavilion REIT bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24/FY25) masing-masing sebanyak 7% dan 8% bagi mencerminkan andaian kadar sewaan lebih tinggi untuk Pavilion Bukit Jalil (PBJ).
Firma penyelidikan itu berkata pada 28 Februari 2023, PBJ telah memperoleh penyewaan komited sebanyak 81% dengan purata kadar sewaan bulanan RM9.43 setiap kaki persegi, lebih tinggi dari andaian firma bagi FY24/FY25 iaitu RM7.70 dan RM8.10 setiap kaki persegi.
Firma itu berkata pendapatan boleh agih Pavilion REIT bagi suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) adalah dalam anggaran pendapatan FY23 firma sebanyak 26% dan konsensus 27%.
“Di samping itu, kami meningkatkan pengagihan seunit bagi FY23/FY24 sebanyak 1% dan 20% selepas melaraskan wajaran purata bilangan unit dalam terbitan Pavilion REIT kepada 3.6 bilion daripada 4 bilion untuk mengambil kira pengeluaran tranche dua penempatan persendirian, iaitu suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) berbanding andaian sebelum ini terhadap 2QFY23,” tambahnya dalam nota hari ini.
Menurut firma itu, purata kadar penghunian keseluruhan bagi semua segmen telah meningkat kepada 84% suku ke suku (QoQ) daripada 82% disebabkan kadar penghunian di semua pusat beli-belah runcitnya meningkat, mengimbangi penurunan sedikit kadar penghunian di Pavilion Tower daripada 73% kepada 72%.
Firma itu mengunjurkan pengembalian sewa lebih kukuh 5 hingga 6% untuk Pavilion Kuala Lumpur pada FY23/FY24 dengan jangkaan peningkatan jualan penyewa disebabkan kedatangan pelancong asing yang membentuk 30% daripada demografi pembeli di pusat membeli-belah di sebelum pandemik.
“Bagaimanapun, pengembalian sewa FY23 untuk pusat beli-belah yang selebihnya dijangka lebih rendah daripada Pavilion Kuala Lumpur pada 2 hingga 3% disebabkan sesetengah penyewa masih memerlukan sedikit masa untuk pulih ke tahap jualan pra-pandemik mereka,” tambahnya.
Firma itu juga meramalkan sebaran hasil dari FY24 dan seterusnya akan melebar kepada 3% berbanding median lima tahun sebanyak 1% dan menjangka REIT itu akan menarik minat pelabur dengan penyebaran pengedaran lebih tinggi berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun yang dijangka sekitar 3.8 hingga 4% menjelang akhir tahun ini.
AmInvest menyukai saham ini disebabkan aset utamanya terletak secara strategik di ibu negara, menyediakan platform yang baik untuk jenama antarabangsa baharu mengembang ke pasaran Malaysia sambil menyokong permintaan ruang runcit di pusat beli-belah.
Firma itu meramalkan peningkatan beransur-ansur dalam kadar penghunian dan normalisasi pengembalian sewa dengan pemulihan ekonomi Malaysia dan kepulangan pelancong China dalam era pasca pandemik.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) dinaikkan kepada sebanyak RM1.62 seunit. -DagangNews.com








