Aliran portfolio asing kembali negatif dalam tempoh 4 bulan  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran portfolio asing kembali negatif dalam tempoh 4 bulan 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]


 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Aliran portfolio asing kembali berubah kepada negatif pada November dengan pelabur asing menarik keluar RM3.5 bilion daripada pasaran modal Malaysia, buat kali pertama dalam tempoh 4 bulan. 

 

Menurut UOB Global Economics & Markets Research, aliran keluar itu adalah semata-mata daripada sekuriti hutang domestik memandangkan ruang ekuiti masih menyaksikan pembelian bersih marginal sebanyak RM100 juta.  

 

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat aliran masuk portfolio asing berjumlah RM25.4 bilion setakat ini, didorong sepenuhnya oleh aliran masuk hutang dan memperoleh semula aliran keluar sebanyak RM6.3 bilion pada 2020.

 

"Pelabur asing kekal menjadi penjual bersih ekuiti tempatan berjumlah RM2.1 bilion setakat ini, menjadikan pemilikan asing dalam pasaran ekuiti Malaysia pada sub-20% daripada pasaran modal sepanjang 2021 (November : 20.3%, Oktober 20.2%)," katanya dalam nota kajian tersebut. 

 

Pada November, aliran keluar hutang didorong oleh jualan Sekuriti Kerajaan Malaysia bukan pemastautin manakala pembelian asing Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) adalah lebih separuh kepada RM1.2 bilion. 

 

Ini menyebabkan pegangan asing bon kerajaan Malaysia yang lebih kecil pada RM227.7 bilion atau bersamaan 24.9% daripada jumlah terkumpul pada akhir November. 

 

Firma itu menjangkakan aliran modal aasing akan menjadi lebih selektif dan sensitif kepada risiko apabila memasuki 2022, terutama dengan ancaman varian baharu, Omicron, boleh menjejaskan prospek pertumbuhan dan inflasi secara global. 

 

Jangkaan keadaan monetari yang lebih ketat berikutan bank pusat global terutamanya normalisasi dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan menaik kepada dolar AS dan sebaliknya, tekanan menurun kepada tukaran asing mata wang Asia termasuk ringgit, yang akan menjejaskan aliran dinamik dalam masa terdekat. 

 

"Faktor domestik akan menambah risiko penurunan kepada prospek aliran modal Malaysia termasuk kenaikan tahap hutang dan ketidaktentuan dasar," jelasnya. - DagangNews.com