Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan - CGS-CIMB Research menyemak naik penarafan Bursa Malaysia Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'kurang' sebelum ini meskipun dagangan ekuiti pada suku keempat 2021 (Q421) dilihat kurang memberangsangkan.
Bursa Malaysia akan mengeluarkan laporan kewangan suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 pada 28 Januari ini.
Firma itu menjangkakan untung bersihnya pada tempoh berkenaan akan menyusut tahun ke tahun dan suku ke suku berikutan aktiviti dagangan yang lemah dalam pasaran modal.
Penganalisisnya, Winson Ng berkata, keadaaan itu disebabkan penurunan nilai purata dagangan harian (ADTV) sebanyak 11.3% suku ke suku ke suku dan 46.2% tahun ke tahun pada suku tersebut.
"Kami juga menganggarkan purata kontrak harian (ADC) bagi pasaran derivatif menurun sebanyak 0.5% tahun ke tahun kepada 70,700 pada suku keempat 2021," katanya dalam nota kajian pada Jumaat.
Beliau berkata, keadaan tersebut akan menyaksikan Bursa Malaysia merekodkan untung bersih sebanyak RM50.5 juta, terendah sejak suku keempat 2019 (sebelum tercetusnya pandemik COVID-19).
Katanya, ia adalah berdasarkan anggaran penurunan tahun ke tahun sebanyak 46.2% bagi pendapatan ekuiti dan 0.5% dalam pendapatan derivatif, sejajar dengan penurunan tahun ke tahun bagi ADTV ekuiti dan derivatif ADC.
Ini mencerminkan penurunan 51.9% tahun ke tahun dan 36.8% suku ke suku bagi keuntungan bersih Bursa Malaysia pada suku keempat.
"Berdasarkan anggaran untung bersih sebanyak RM50.5 juta pada suku keempat, Bursa Malaysia akan merekodkan untung bersih sebanyak RM340.8 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), iaitu 9% lebih rendah berbanding anggaran kami sebelum itu sebanyak RM374.7 juta.
"Oleh itu, kami mengurangkan anggaran untung bersih bagi FY21 sebanyak 9.1% memandangkan kami mengurangkan unjuran ADTV sebanyak 11.2% dalam tahun kewangan tersebut," jelasnya.
Menurut Ng, penurunan ADTV juga diambil kira dengan anggaran daripada RM3.56 bilion bagi FY21 kepada RM2.56 pada FY22 (berbanding RM4.21 bilion pada FY20 dan paras sebelum pandemik sebanyak RM1.93 bilion pda FY19) disebabkan kelonggaran sekatan pergerakan dan kadar duti setem yang lebih tinggi.
"Dengan mengambil kira semua faktor ini, kami menjangkakan untung bersih Bursa Malaysia pada FY22 akan menyusut sebanyak 36.8%," tambahnya.
Antara punca menyebabkan ADTV ekuiti lebih rendah pada 2022 ialah peningkatan kos dagangan kepada pelabur, berikutan perubahan struktur duti setem yang dilaksanakan kerajaan.
Pada 30 Disember 2021, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan duti setem sebanyak 0.15% ke atas nilai nota dagangan saham dalam pasaran saham (sejajar dengan cadangan dalam bajet 2022 tetapi lebih tinggi berbanding kadar duti setem 0.1% pada 2021) dengan had RM1,000 (berbanding dengan pemansuhan sepenuhnya had yang dicadangkan di bawah Bajet 2022 tetapi lebih tinggi daripada had RM200 pada 2021).
Meskipun, pelaksanaan semula had untuk duti setem bagi setiap kontrak di bawah pengumuman terbaharu oleh Kementerian Kewangan (berbanding cadangan pemansuhan sepenuhnya di bawah Bajet 2022) adalah positif untuk Bursa Malaysia, tetapi kos dagangan untuk pelabur masih akan meningkat pada 2022.
Firma itu menganggarkan kos transaksi dalam pasaran saham Malaysia akan meningkat daripada 0.19% pada 2021 kepada 0.2% pada 2022 bagi nilai dagangan AS$1 juta.
Namun, CGS-CIMB mengekalkan harga sasaran pada RM6.59 berdasarkan kepada sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi FY23 pada 21.1x.
"Kami juga menyemak naik penarafan Bursa Malaysia kepada 'pegang' setelah mendapati penurunan ADTV dalam ekuiti telah diambil kira.
"Ini kerana harga sahamnya telah merosot sebanyak 14.5% sejak kerajaan mengumumkan cadangan pelaksanaan kadar duti setem lebih tinggi dalam Bajet 2022," katanya.
Dalam kalangan bank di bawah liputannya, CGS-CIMB memilih Hong Leong Bank Bhd. berikutan pendedahannya kepada sektor perkhidmatan kewangan di Malaysia. - DagangNews.com








