Akihiro Ondo dilantik sebagai CEO Mitsubishi Power Asia Pacific | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Akihiro Ondo dilantik sebagai CEO Mitsubishi Power Asia Pacific

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - Mitsubishi Power Asia Pacific Pte. Ltd. telah melantik Akihiro Ondo sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 1 April 2023.

 

Syarikat itu mengumumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan hari ini, di mana Ondo menggantikan Osamu Ono, yang kini Naib Presiden Kanan, Ketua Pegawai Serantau, Asia Pasifik & India, Mitsubishi Heavy Industries (MHI).

 

Berpangkalan di Singapura, Ondo akan menyelia pasukan yang terdiri daripada kira-kira 1,200 pekerja di seluruh Australia, New Zealand, Bangladesh dan negara-negara ASEAN termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

 

Beliau juga akan mengukuhkan lagi hubungan rapat dengan pihak berkepentingan awam dan swasta tempatan di rantau ini untuk memacu penyahkarbonan operasi dan rantaian nilai Mitsubishi Power, ke arah mencapai matlamat ‘Mission Net Zero’ MHI menjelang 2040.

 

Sebelum memegang peranan ini, Ondo ialah Pengarah Jabatan Jualan dan Pemasaran Antarabangsa di bahagian Sistem Tenaga MHI berpangkalan di Jepun sejak 2021 memikul tanggungjawab dalam pembangunan perniagaan dan operasi komersial untuk rantau Asia Pasifik.

 

Ondo juga mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang dari Universiti Keio dan telah memulakan kerjaya di MHI pada 1996.

 

Ono berkata beliau yakin pengalaman dan rangkaian mendalam Ondo akan membantu membawa Mitsubishi Power Asia Pasifik ke arah kejayaan lebih cemerlang dalam menyampaikan penyelesaian penyahkarbonan yang boleh dipercayai dan mampan.

 

Menurut beliau, Ondo mempunyai hampir tiga dekad pengalaman jualan dan pengurusan serantau, menerajui pembangunan perniagaan dan operasi komersial di Amerika, Eropah, Afrika dan Asia.

 

“Beliau juga telah menjalin hubungan rapat dengan pemegang kepentingan tenaga utama di ASEAN dan Asia Pasifik serta berada pada kedudukan terbaik untuk membawa pasukan ke hadapan dan merealisasikan cita-cita tenaga rantau ini,” tambahnya.

 

Sementara itu, Ondo berkata pasukannya komited memperbaiki komuniti di tempat beroperasi dan melakarkan masa depan tenaga sifar bersih.

 

“Ia adalah satu keistimewaan untuk memimpin pasukan kami di rantau ini bagi menangani keperluan khusus pelanggan dengan penyelesaian progresif, termasuk turbin gas berkecekapan tinggi, hidrogen, ammonia dan biojisim pembakaran bersama, operasi dan penyelenggaraan (O&M) loji janakuasa sedia ada dan lain-lain,” katanya. -DagangNews.com