KUALA LUMPUR 5 Mei - Airbnb memperkenalkan Airbnb Bilik dalam wajah serba baharu, termasuk melancarkan lebih 50 ciri dan peningkatan yang menangani maklum balas paling kerap diterima daripada tetamu dan hos merentasi keseluruhan pengalaman.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbnb, Brian Chesky berkata, idea asal perkongsian penginapan itu menawarkan dua faedah unik, pertama, ia lebih berpatutan untuk tetamu.
Katanya, lebih daripada 80% bilik persendirian berharga di bawah AS$100/semalam, dengan kadar purata AS$67/malam.
"Kedua, menginap dengan hos adalah cara terbaik untuk bertemu dengan orang baharu dan mengalami sesebuah bandar seperti warga tempatan.
"Kami mendapat maklum balas daripada tetamu bahawa mereka ingin tahu lebih lanjut mengenai dengan siapa mereka menginap. Setiap Airbnb Bilik mempunyai Pasport Hos, jadi tetamu boleh mengenali hos mereka sebelum membuat tempahan.
"Kami juga telah mencipta kategori bilik dengan lebih daripada 1 juta penyenaraian, penapis yang direka semula dan menambah ciri privasi baharu.
"Airbnb Bilik biasanya lebih murah berbanding hotel, dan ia cara yang paling tulen untuk mengalami sesebuah bandar. Inilah jiwa Airbnb," katanya dalam kenyataan.

Chesky berkata, jutaan orang telah memberi maklum balas tentang cara untuk menambah baik Airbnb.
"Kami telah mendengar. Hari ini, kami memperkenalkan kemas kini paling menyeluruh yang pernah dilakukan.
"Pendekatan kami yang didorong reka bentuk bermakna kami sentiasa menambah baik Airbnb, dan lebih 50 ciri dan peningkatan baharu kami ini hanyalah permulaan. Kami tidak akan berhenti menambah baik Airbnb," katanya.

Sebagai sebahagian daripada 50+ ciri dan peningkatan baharu, Airbnb melancarkan 25 penambahbaikan untuk hos, termasuk alat harga baharu untuk membantu hos menetapkan harga kompetitif, menambah diskaun mingguan dan bulanan dengan mudah, dan membandingkan penyenaraian mereka dengan penyenaraian serupa di kawasan mereka.
"Kami juga menyertakan paparan tahunan dalam kalendar, keupayaan untuk memasukkan arahan daftar keluar dengan mudah, resit mesej dibaca dan jawapan segera baharu dalam pemesejan, dan banyak lagi," katanya. - DagangNews.com








