KUALA LUMPUR 3 April - Aeon Credit Service (M) Berhad (Aeon Credit) telah menyumbang menyumbang RM 1 juta kepada Yayasan AEON Malaysia (MAF) bagi Projek Bilik Darjah Bestari.
Projek itu melibatkan 40 sekolah menengah dan rendah di 10 negeri seluruh negara bagi menyediakan pendidikan berkualiti melalui pemulihan dan pendigitalan pengalaman bilik darjah sedia ada di sekolah.
Pengarah Urusan Aeon Credit dan Naib Presiden II MAF, Daisuke Maeda berkata projek itu mewakili komitmen tonggak sosial kumpulan di bawah Pelan Hala Tuju Kelestarian tiga tahunnya bagi meningkatkan literasi digital di sekolah dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Matlamat UN SDG 4) Pendidikan Berkualiti.
Ini bertujuan memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

“Melalui Projek Bilik Darjah Bestari, pelajar akan mendapat sokongan diperlukan untuk berjaya dalam pelajaran mereka melalui kemudahan bilik darjah pintar yang akan dilengkapi dengan kemudahan audio-visual dan infrastruktur terkini, sesuai dalam kaedah pembelajaran moden,” jelasnya.
Pada masa hadapan, program untuk menggalakkan literasi digital dalam kalangan pelajar dan komuniti mereka akan dimulakan dengan tujuan untuk mengurangkan jurang literasi digital.
“Projek ini bukan sahaja membantu pelajar cemerlang di sekolah, malah ia juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan mereka meneruskan pendidikan dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran pintar yang menyeronokkan dan kondusif,” tambahnya.
Projek berjumlah RM2 juta itu merupakan lanjutan daripada Yayasan Aeon Sayap Bagimu yang pertama kali dilancarkan pada September 2021 telah memberi manfaat kepada 4,150 pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Inisiatif komuniti mampan itu adalah untuk meningkatkan pembelajaran digital di sekolah seluruh negara dan membantu merapatkan jurang pendidikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan menyediakan peluang pembelajaran yang sama.
Di samping itu, ia memberi komitmen mengukuhkan kesediaan mereka dalam merealisasikan aspirasi membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara digital.
Sehingga kini, MAF telah menyumbang lebih daripada RM20 juta secara keseluruhan untuk aktiviti dalam bidang pendidikan, perayaan dan semasa bencana alam termasuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, di mana keluarga yang terjejas oleh perintah berkurung menerima kotak penjagaan rumah. -DagangNews.com








