KUALA LUMPUR 25 April - Aaron Tang dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Besar Asia Pasifik Luno berkuat kuasa 15 Mei 2023.
Luno berkata Tang sebelum ini menyandang jawatan Pengurus Negara Luno Malaysia sejak Ogos 2019.
"Scarlett Chai akan mengambil alih sebagai pengurus negara baharu untuk Luno Malaysia berkuat kuasa serta-merta, setelah pernah berkhidmat sebagai Peneraju Pemasaran dan Perkongsian dari 2019 hingga 2021, dan kemudian sebagai pengurus pemasaran, peranan yang disandangnya sejak Julai 2021," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Aaron Tang akan menggantikan David Low yang akan berundur daripada jawatan tersebut pada 15 Mei 2023.
David merupakan perintis dalam ruang aset digital Malaysia dan memainkan peranan penting dalam menyokong kepercayaan dan peraturan dalam ruang mata wang kripto sejak Mac 2018 dan telah bertugas sebagai Pengurus Besar Asia Pasifik sejak Ogos 2018.
"Peraturan mengenai mata wang kripto kemudiannya diperkenalkan oleh kerajaan pada Januari 2019 dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai pihak berkuasa penyeliaan.
David juga telah mengetuai pengembangan serantau Luno dari Malaysia dengan mendapatkan kelulusan kawal selia dan melancarkan perniagaan Luno di pasaran Asia Pasifik yang lain," tambahnya.
Sebagai Pengurus Besar Asia Pasifik, Tang akan ditugaskan dengan gambaran keseluruhan strategik operasi pasaran Luno di peringkat serantau, di samping mengembangkan perniagaan dalam pasaran teras di seluruh rantau Asia Pasifik, serta membina jambatan yang lebih kukuh antara dunia kewangan tradisional dengan dunia aset digital dengan selamat dan terkawal, katanya.
Sebagai salah satu bursa digital terkawal terkemuka di Malaysia, Luno kini menyimpan lebih daripada RM1.2 bilion nilai bagi pihak pelanggannya merentasi sembilan aset digital yang diluluskan di Malaysia. -DagangNews.com








