KUALA LUMPUR 13 Jan - Lebih 800,000 usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) atau sekurang-kurangnya 90 peratus dijangka akan melaksanakan pendigitalan dalam operasi perniagaan mereka, menjelang tahun 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi menggalakkan pendigitalan dalam kalangan PMKS, sebanyak RM200 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan 2022 melalui skim geran pendigitalan PMKS untuk membantu usahawan mikro Bumiputera secara khusus.
Beliau berkata, banyak perusahaan berjaya dalam mengadaptasikan pendigitalan dalam perniagaan masing-masing.
"Misalnya, MyBurgerLab, BloomThis, HausBoom, KPJ Healthcare dan Les’ Copaque merupakan contoh perusahaan yang berjaya mengadaptasikan platform digital untuk meluaskan pasaran mereka. MyBurgerLab mengiklankan produk mereka di YouTube dan aplikasi 'Animal Crossing'dan berjaya mengutip RM50,000 dalam tempoh masa 24 jam dengan penjualan e-voucher.
"Kincirmas Sdn. Bhd. pula merupakan pengeluar minuman jus dan teh menggunakan perkhidmatan Google Ads untuk mendapat agen. Syarikat yang terpaksa menghentikan operasi kilang dan memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja pada awal pandemik ini akhirnya berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan menggunakan platform digital," katanya ketika berucap merasmikan program 'Reboot Now' hari ini.

MUSTAPA MOHAMED
Mustapa berkata, COVID-19 mengubah landskap perniagaan dan membawa kepada pertumbuhan pendigitalan yang pesat.
"Ramai pengusaha mula mengadaptasi platform e-dagang seterusnya meningkatkan penggunaan digital dalam perniagaan. Sebanyak 490,000 PMKS telah menggunakan platform e-dagang pada hujung tahun 2020. Pada tahun lepas, perkhidmatan penghantaran makanan turut berkembang sebanyak 35 peratus di Malaysia.
"Perkembangan dalam kedua-dua perkhidmatan ini membawa kepada peningkatan sebanyak US$7 bilion dalam nilai jualan secara keseluruhan atau 'Gross Merchandise Value'. Jelas bahawa ekonomi gig semakin penting di negara kita dimana kebanyakan mereka adalah PMKS," katanya.
Beliau berkata, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), PMKS akan lebih menumpukan perhatian kepada pasaran antarabangsa.
"Kerajaan akan membantu PMKS yang berpotensi tinggi untuk mengeksport dengan memberi bantuan dalam bentuk khidmat nasihat, risikan pasaran antarabangsa, pendaftaran IP serta pembangunan jenama dan produk," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, terdapat 1.15 juta PMKS di yang merupakan tunjang kepada negara.
"Selain merangkumi lebih 97 peratus perusahaan, sumbangan PMKS kepada ekonomi daripada segi pekerjaan adalah kira-kira 48 peratus. Di bawah RMKe-12, pendigitalan PMKS telah digariskan sebagai salah satu pemacu perubahan yang akan mendorong pembangunan negara," katanya.
Jelasnya, dalam hubungan ini, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan transaksi e-dagang melonjak sebanyak RM71.7 bilion daripada RM196 bilion pada suku tahun pertama 2020 kepada RM268 bilion pada suku kedua 2021.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun pandemik COVID-19 mulai reda, namun beliau memberi peringatan supaya sentiasa berwaspada terhadap varian baharu Omicron yang mula merebak di negara ini.
"Bulan lepas, beberapa negeri dilanda banjir besar. Saya sempat turun ke kawasan yang terkesan, termasuk Dengkil, Taman Sri Muda, Bukit Lanchong, Puchong, Jeli dan beberapa rancangan FELDA. Kerajaan sedar bahawa pengusaha-pengusaha PMKS telah mengalami kerugian yang besar berikutan kemusnahan peralatan dan stok.
"Pihak kerajaan telah mengumumkan beberapa bentuk bantuan yang sudah pasti dapat meringankan beban Keluarga Malaysia termasuk PMKS," katanya.
Katanya, bagi membantu PMKS, Bank Negara Malaysia memperkenalkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM500 juta menerusi Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) 2022, manakala TEKUN Nasional pula memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta bagi PMKS yang terkesan tanpa faedah serta moratorium bayaran balik.
Tambah beliau, sebanyak 1,083 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) akan beroperasi menjelang hujung tahun ini.
"PEDi berperanan untuk menyokong perusahaan khususnya di luar bandar yang berhadapan dengan kekangan alat peranti dan sambungan internet," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kempen Jiwa SME dan program Reboot Now yang dianjurkan anjuran Astro Awani merupakan satu inisiatif yang amat dialu-alukan.
Katanya, kempen ini memberikan dimensi baharu dalam bidang keusahawan dengan menyokong para usahawan dan peniaga ke arah inovasi dan pendigitalan.
"Selain itu, kempen ini dapat memberi motivasi serta peluang pekerjaan dan perniagaan kepada PMKS. PMKS harus sahut cabaran untuk menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara.
"Pihak kerajaan komited dalam menjadi pemudah cara kepada sektor swasta bagi meningkatkan prestasi ekonomi negara. Saya percaya persidangan ini akan membuka lebih banyak peluang dan manfaat kepada PMKS dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua yang akan menghadiri persidangan ini," katanya. - DagangNews.com







