26 juta pelancong kunjungi Malaysia, jana RM86 bilion sebelum pandemik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

26 juta pelancong kunjungi Malaysia, jana RM86 bilion sebelum pandemik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac - Malaysia menerima kunjungan pelancong seramai 26 juta yang menjana sebanyak RM86 bilion dalam perbelanjaan pelancong, sebelum pandemik COVID-19 melanda.

 

Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dengan pembukaan semula sempadan, negara bakal meraih semula punca pendapatan tersebut. 

 

Beliau berkata, permintaan pasaran global bagi pelbagai industri tempatan juga akan kembali meningkat dan ini semua berpotensi untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih pantas.

 

Jelasnya, Malaysia Airports selaku pengendali lapangan terbang utama negara, menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 dan langkah negara beralih ke fasa endemik. 

 

Dr Zambry menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan di atas keputusan terkini itu.

 

"Pembukaan semula sempadan negara tentunya menjadi titik tolak yang akan merangsang pemulihan prestasi ekonomi negara.

 

"Ia sekaligus akan melonjak prestasi Malaysia Airports hasil daripada tambahan bilangan pergerakan penumpang antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

zambry
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

 

 

Katanya, beliau juga memberi komitmen Malaysia Airports akan menyokong penuh semua usaha kerajaan dengan memastikan kualiti perkhidmatan di lapangan terbang sentiasa berada di tahap yang tertinggi sebagai salah satu langkah penyediaan menerima bilangan penumpang yang lebih ramai. - DagangNews.com