Harga sawit tinggi lonjak hasil, untung bersih Sime Darby Plantation pada Q1 | DagangNews Skip to main content

Harga sawit tinggi lonjak hasil, untung bersih Sime Darby Plantation pada Q1

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Mei - Sime Darby Plantation Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM718 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q1), meningkat 27.8% daripada RM562 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Hasil bagi tempoh itu turut meningkat 19% kepada RM4.38 bilion berbanding RM3.67 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Berikutan prestasi cemerlang pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), kumpulan terus mempamerkan pencapaian kukuh pada suku pertama ini berikutan harga minyak sawit mentah dan isirung kekal memberangsangkan. 

 

Harga purata direalisasikan minyak sawit mentah pada suku pertama 2022, berlegar pada purata RM4,465 satu tan metrik, meningkat 40% tahun ke tahun berbanding RM3,185 tan metrik, manakala harga purata isirung meningkat 84% kepada RM4,105 daripada RM2,230 satu tan metrik.

 

Purata harga yang direalisasikan lebih tinggi mengimbangi pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah kerana kumpulan terus terjejas akibat masalah kekurangan buruh yang berpanjangan dalam industri minyak sawit Malaysia.

 

Pada masa sama, kumpulan juga mengalami penurunan BTS daripada ladang di Indonesia apabila pengeluaran kembali normal daripada paras tinggi yang direkodkan pada suku pertama 2021.

 

Sementara itu, Sime Darby Oils merekodkan kenaikan 23% bagi keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM132 juta pada suku pertama 2022 berbanding RM107 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu disebabkan terutamanya margin yang lebih tinggi direkodkan daripada operasi pukal Asia Pasifik yang sebahagiannya mengurangkan volum jualan dan margin lebih rendah dalam perbezaan operasi Asia Pasifik dan Eropah.

 

Mengulas mengenai prestasi itu, Pengerusi Sime Darby Plantation, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kumpulan telah memulakan tahun kewangan dengan keputusan yang kukuh berikutan harga komoditi yang tinggi disebabkan gangguan rantaian bekalan secara berterusan.

 

"Memandangkan minyak sawit memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan minyak sayur-sayuran di pasaran global, saya yakin kumpulan akan dapat memanfaatkan peluang semasa dan terus memberikan prestasi memberangsangkan pada 2022," jelasnya.

 

Mengenai prospek kumpulan, Pengarah Urusannya, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, walaupun permintaan minyak sawit mungkin dipengaruhi dengan kenaikan harga semasa, tetapi ia akan dikurangkan oleh bekalan yang ketat dan ketersediaan minyak sayuran alternatif serta gangguan rantaian bekalan yang disebabkan konflik Rusia-Ukraine.

 

Bagaimanapun, katanya, kumpulan menjangkakan pengeluaran BTS keseluruhan yang lebih rendah berbanding FY21, kerana pengambilan pekerja asing baharu untuk industri perladangan hanya dijangka tiba pada separuh kedua tahun ini.

 

"Tanpa sebarang perkara tidak dijangka, kumpulan menjangkakan prestasi yang menggalakkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022," katanya. - DagangNews.com