DOC2US perluas perkhidmatan ke Myanmar | DagangNews Skip to main content

DOC2US perluas perkhidmatan ke Myanmar

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Pembekal teleperubatan pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan e-preskripsi yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, DOC2US mengumumkan perkembangan perkhidmatannya ke Myanmar sebagai rakan teknikal HOPE Telecare untuk memacu perkembangan ekosistem perubatan digital di Myanmar.

 

Dr Raymond Choy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DOC2US berkata, Hope Telecare merupakan sebuah platform perubatan digital semua-dalam-satu atas usahasama antara Syarikat Myanmar’s Blue Ocean Investment Limited, TELEMED Company Limited dan syarikat tempatan DOC2US yang dimiliki oleh Heydoc International Sdn Bhd.

 

Ujarnya, usahasama tersebut merupakan langkah pertama untuk DOC2US mengembangkan teknologi tempatan kita serta penyelesaian penjagaan kesihatan di luar Malaysia.

 

"Berdasarkan sistem sedia ada DOC2US yang telah terbukti dan model perniagaan yang berasaskan elemen ”hyper-localised”, bersama dengan rakan kongsi kami, kami menyasarkan untuk melengkapi ekosistem perubatan fizikal di Myanmar dengan meringankan tugas sumber tenaga perubatan fizikal untuk membantu masyarakat yang memerlukan pertolongan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, perkhidmatan tersebut akan memberi peluang kepada masyarakat awam untuk mendapatkan rundingan kesihatan maya secara percuma.

 

Sementara itu Pengerusi HOPE Telecare, Htun Htun Naing berkata, kira-kira 70% daripada populasi yang mencecah hampir 55 juta di Myanmar tinggal di luar bandar di mana akses kepada doktor adalah terhad.

 

"Manakala kadar penembusan internet sedang berkembang pada kadar melebihi 10% tahun demi tahun dari 43% sekarang, kami percaya bahawa teleperubatan ialah arah masa hadapan untuk memperbaiki kualiti kesihatan dalam negara," katanya.

 

DOC2US akan memanfaatkan platform awan Microsoft Azure untuk fleksibiliti dan skalabiliti yang lebih baik. 

 

DOC2US juga membekalkan HOPE dengan sistem back-end yang mantap untuk melaksana dan menyokong platform kesihatan digital di mana pengguna platform tersebut dapat berhubung dengan pakar penjagaan kesihatan untuk memperoleh tips-tips kesihatan dan informasi lain yang berkenaan di bahagian front-end. 

 

"Untuk fasa yang akan datang, DOC2US akan mengintegrasikan teknologi blockchain dalam rekod kesihatan elektronik, kecerdasan buatan dan sistem tandatangan digital bagi menambahbaik penggunaan HOPE," kata Raymond. -DagangNews.com