DEFTECH, FNSS Turki lanjut kerjasama bekal kenderaan perisai kepada Malaysia | DagangNews Skip to main content

DEFTECH, FNSS Turki lanjut kerjasama bekal kenderaan perisai kepada Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) dan syarikat Turki, FNSS Savunma Sistemleri A.Ş. (FNSS) hari ini bertukar perjanjian kerjasama (CA) untuk reka bentuk, pembangunan, fabrikasi, pembuatan, lokalisasi, pemasangan dan pembekalan kenderaan berperisai keluarga PARS FNSS kepada Kerajaan Malaysia.  

 

Pertukaran dokumen tersebut telah disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Pavilion DEFTECH pada Defence Services Asia 2022 ke-17 (DSA 2022) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini, yang berlangsung sehingga 31 Mac 2022.

 

DEFTECH diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Lt. Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar, manakala FNSS diwakili Pengurus Besar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kadir Nail Kurt.

 

DEFTECH telah bekerjasama dengan FNSS sejak 2011, bermula darpadai pembekalan AV8 Gempita kepada Tentera Darat Malaysia. 

 

Program AV8 Gempita dijangka akan berakhir tidak lama lagi, dengan penghantaran unit terakhir yang dijadualkan pada Disember 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DEFTECH, Fazley Ariffin berkata, kerjasama di bawah program AV8 Gempita telah mendorong DEFTECH ke arah memberi tumpuan kepada pengeluaran kenderaan perisai tempatan untuk industri pertahanan Malaysia.

 

“Kami telah bekerjasama dengan FNSS selama lebih 10 tahun dan telah membina hubungan yang kukuh dan membuahkan hasil. Kenderaan FNSS telah diterima baik oleh Tentera Darat Malaysia dan diiktiraf di peringkat global. 

 

"Kami ingin meneruskan perkongsian kukuh pada masa hadapan dan kami berharap kerjasama ini akan membawa lebih banyak peluang kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

deftech
(Dari kiri, hadapan), Lt. Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar dan Kadir Nail Kurt ketika sesi pertukaran dokumen perjanjian kerjasama tersebut di DSA 2022, hari ini.

 

 

Fazley berkata, melalui kerjasama ini DEFTECH dan FNSS berusaha memanfaatkan keupayaan teras masing-masing untuk melengkapkan tentera Malaysia dengan kenderaan perisai yang disokong oleh kepakaran teknikal tempatan.

 

“Program AV8 Gempita adalah bukti pengalaman dan kemahiran tidak ternilai yang diperoleh melalui kerjasama ini. Ini telah membolehkan DEFTECH berkembang ke arah peningkatan pembuatan tempatan seterusnya akan meningkatkan lagi industri pertahanan Malaysia daripada segi kemahiran dan keupayaan," katanya.

 

Kurt pula berkata, kerjasama dengan DEFTECH telah terbukti  berjaya dalam tempoh dua dekad, yang telah melibatkan pemindahan teknologi reka bentuk dan pembuatan kenderaan perisai di Malaysia. - DagangNews.com