KUALA LUMPUR 6 Dis - CTOS Digital Bhd. memperoleh tambahan 3.5% kepentingan dalam RAM Holdings Bhd. melibatkan pertimbangan pembelian berjumlah RM7.6 juta menjadikan pegangannya meningkat kepada 8.1%.
Ia memperoleh 350,000 saham itu daripada Standard Chartered Bank Malaysia Bhd., menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pembelian itu akan dibiayai sepenuhnya oleh hasil tunai yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital, Dennis Martin berkata, pegangan tambahan dalam RAM ini membolehkan kumpulan merealisasikan sinergi yang kukuh antara kedua-dua syarikat.
"Dengan pegangan yang lebih besar dalam RAM, kami mempunyai ruang yang lebih luas untuk meneroka kerjasama dan boleh membangunkan produk dan perkhidmatan bersesuaian bagi memenuhi permintaan daripada rangkaian pelanggan kami," katanya.
Pengambilalihan ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham CTOS Digital atau pihak berkaitan. Ia dijangka selesai pada hari yang sama dengan perjanjian pembelian saham.
Sebelum ini, kumpulan memperoleh 462,500 saham atau 4.6% kepentingan dalam RAM pada Julai 2021.
Langkah itu membabitkan nilai sebanyak RM10.1 juta, yang juga dibiayai hasil daripada IPO tersebut. - DagangNews.com








