PNB lancarkan dana amanah Sukuk ASN, tumpu pelaburan pelbagai portfolio sukuk | DagangNews Skip to main content

PNB lancarkan dana amanah Sukuk ASN, tumpu pelaburan pelbagai portfolio sukuk

Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan ASN Sukuk, bersempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 di Port Dickson, yang bermula hari ini. - Gambar BERNAMA

PORT DICKSON 24 Nov - Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan dana amanah ke-17, Sukuk ASN, sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022, yang bermula hari ini.

 

Pengerusi PNB Tun Arifin Zakaria berkata dana harga berubah itu tertumpu kepada pelaburan dalam pelbagai portfolio sukuk, di mana 80 peratus hingga 90 peratus daripada nilai aset bersih dana tertumpu dalam aset kelas sukuk, termasuk Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII).

 

"Sukuk ASN menyasarkan pelabur yang mempunyai toleransi risiko konservatif, cenderung ke arah pendapatan stabil dalam jangka sederhana hingga panjang.

 

“Saya berharap ejen kami dapat mempromosikan dan memberikan sokongan padu dalam aktiviti pemasaran Sukuk ASN pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian semasa pelancaran MSAM 2022.

 

BACA: MSAM 2022 dianjurkan di Port Dickson bermula 24 hingga 30 November 2022

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) Muzzaffar Othman berkata dana itu membolehkan pemegang unit melengkapkan dan mempelbagaikan pelaburan sedia ada mereka dalam ASNB untuk membina portfolio yang lebih seimbang.

 

“PNB melancarkan produk ini pada masa yang sesuai terutama dalam persekitaran ekonomi semasa yang kurang memberangsangkan sekarang.

 

"Sukuk itu mempunyai toleransi risiko konservatif yang sesuai untuk mereka yang ingin mula melabur," katanya kepada pemberita pada majlis itu.

 

Dana itu dijangka mendapat manfaat daripada persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat dan akan menjadi titik permulaan yang menarik bagi pelabur untuk menjana potensi pulangan pada masa hadapan.

 

Nilai pelaburan minimum untuk sukuk ialah RM10, dengan pelaburan tambahan serendah RM1.00.

 

Sementara itu, aset di bawah pengurusan PNB mencecah lebih RM340 bilion, di mana RM51 bilion adalah dana proprietari milik syarikat dan RM289 bilion adalah dana dikutip daripada 16 unit amanah.

 

“Sebanyak RM227 bilion agihan telah dibuat kepada pemegang unit sejak penubuhan PNB pada 1978 sehingga hari ini.

 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua 15.2 juta pemegang unit yang sentiasa mempunyai keyakinan untuk melabur dalam dana kami,” kata Arifin.

 

MSAM 2022 akan berlangsung sehingga 30 November dan dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 10 malam. - DagangNews.com