MDEC tarik balik status Malaysia Digital susulan lesen perniagaan Network School dibatalkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MDEC tarik balik status Malaysia Digital susulan lesen perniagaan Network School dibatalkan

KUALA LUMPUR 22 Julai – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menarik balik serta-merta status Malaysia Digital yang diberikan kepada NSO Malaysia Sdn. Bhd.

 

NSO mengendalikan Network School yang beroperasi di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.

 

MDEC dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil susulan keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan syarikat berkenaan.

 

Menurut MDEC, antara syarat yang ditetapkan bagi syarikat yang menerima status Malaysia Digital ialah mendapatkan semua permit dan lesen berkaitan bagi menjalankan aktiviti yang diluluskan, selain mematuhi segala undang-undang, peraturan serta keperluan pelesenan yang berkuat kuasa.

 

"Pembatalan lesen perniagaan NSO merupakan pelanggaran terhadap syarat tersebut.

 

"Sehubungan itu, MDEC mengambil tindakan serta-merta untuk menarik balik status Malaysia Digital NSO," katanya.

 

Pematuhan undang-undang tidak boleh dikompromi

Dalam pada itu, MDEC berkata, Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelaburan digital berkualiti tinggi, namun menegaskan bahawa pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang dan peraturan negara tidak boleh dikompromi.

 

Terdahulu, MBIP mengeluarkan Notis Penghentian Operasi Perniagaan kepada NSO yang berkuat kuasa hari ini, 22 Julai 2026, susulan ketidakpatuhan terhadap syarat pelesenan serta penggunaan premis di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.

 

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa Network School mempunyai kaitan dengan agenda Israel untuk mewujudkan tapak operasi di Malaysia menerusi pelaburan berkaitan mata wang kripto. — Bernama