MYTV lancar platform penstriman secara percuma untuk rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

MYTV lancar platform penstriman secara percuma untuk rakyat Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - MYTV Broadcasting Sdn Bhd melancarkan perkhidmatan siaran TV penstriman 'Over-the-Top' (OTT) percuma Malaysia yang dikenali sebagai MYTV Mana-Mana. 

 

MYTV dalam kenyataan berkata, dengan aplikasi MYTV Mana-Mana, penonton akan dapat mengakses pelbagai kandungan program tempatan dan luar negara dalam definisi tinggi (HD), rangkaian siaran langsung TV, radio dan 'on-demand', pada bila-bila masa dan di mana sahaja. 

 

"Platform ini menawarkan saluran TV, radio dan kandungan on-demand melalui pelbagai peranti digital seperti komputer, tablet, atau telefon mudah alih.

 

"MYTV Mana-Mana ialah platform OTT nasional yang menyediakan rangkaian saluran TV percuma daripada penyiar seperti RTM, Bernama TV, TVS, Suke TV dan TV Al-Hijrah serta kandungan on-demand seperti Resepi Tok (Destinasi TV), Walkabout Asia, Food Stories, Cities of The World dan banyak lagi," katanya.

 

Terdahulu, majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek.

 

Menurut kenyataan itu, MYTV Mana-Mana juga akan menambah lebih banyak saluran TV serta kandungan on-demand yang menarik dan eksklusif di platformnya dalam masa terdekat ini.

 

"Matlamat MYTV Mana-Mana adalah untuk menyediakan pelbagai pilihan program yang berkualiti tinggi di bawah satu bumbung, khusus untuk rakyat Malaysia.

 

 

mytv

 

 

"Kami amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada agenda nasional untuk membantu merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat dan kami percaya bahawa perkhidmatan penstriman kami akan memainkan peranan yang besar dalam mencapai matlamat ini," katanya.

 

MYTV Mana-Mana kini boleh ditonton di mana2.my dan juga boleh dimuat turun daripada aplikasi Google Play Store dan Apple App Store. - DagangNews.com