British American Tobacco diiktiraf Majikan Terbaik di Malaysia kali keenam tahun berturut-turut | DagangNews Skip to main content

British American Tobacco diiktiraf Majikan Terbaik di Malaysia kali keenam tahun berturut-turut

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) telah diiktiraf sebagai Majikan Terbaik di Malaysia untuk tahun keenam berturut-turut oleh Top Employers Institute.  

 

BAT Malaysia juga menerima anugerah Majikan Terbaik di Asia Pasifik dan merupakan salah satu daripada 15 Majikan Terbaik Global yang diiktiraf di seluruh dunia oleh Top Employers Institute. 

 

Kumpulan tersebut dipilih berdasarkan strategi cemerlang dan amalan kakitangan serta konsistensi dan komitmennya untuk memperkayakan dunia pekerjaan pada skala global.

 

Pengarah Sumber Manusia BAT Malaysia, Adrita Datta berbangga dengan pengiktirafan terhadap persekitaran kerja di syarikat tersebut yang memberi peluang kepada warga kerja untuk berkembang, membuktikan ia sebagai tempat kerja yang inklusif dan pelbagai.

 

“Asas kekuatan kami adalah fokus untuk memacu prestasi tinggi, membangunkan generasi pemimpin seterusnya, menghargai kepelbagaian pekerja dan mewujudkan budaya yang menarik, di mana individu dan pasukan boleh berjaya.

 

"Kami kekal komited untuk menyediakan peluang kerjaya yang bermakna untuk kakitangan kami dan mempercepatkan keupayaan baharu untuk menyokong 'tagline' kami A Better Tomorrow,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

BAT Malaysia merupakan syarikat tembakau terkemuka di Malaysia dan anak syarikat BAT Group, yang memacu tujuan korporatnya untuk membina A Better Tomorrow dengan mengurangkan kesan kesihatan perniagaan melalui portfolio berbilang kategori. 

 

Top Employers Institute ialah pihak berkuasa global yang mengiktiraf kecemerlangan dalam amalan manusia. 

 

Program mereka memperakui organisasi berdasarkan penyertaan dan keputusan Tinjauan Amalan Terbaik Sumber Manusia (HR).

 

Tinjauan itu merangkumi enam domain HR yang terdiri daripada 20 topik, di mana syarikat Avanade telah diiktiraf untuk piawaian cemerlangnya dalam setiap kategori penilaian, termasuk Strategi Warga Kerja, Persekitaran Kerja, Pemerolehan Bakat, Pembelajaran, Kepelbagaian, Ekuiti dan Rangkuman, Kesejahteraan dan banyak lagi. -DagangNews.com