Perdagangan Malaysia-China melonjak 3.3% pada Suku Pertama kepada lebih RM112 bilion - Matrade | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia-China melonjak 3.3% pada Suku Pertama kepada lebih RM112 bilion - Matrade

KUALA LUMPUR 30 April - Jumlah perdagangan Malaysia dengan China meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun kepada lebih RM112 bilion pada suku pertama tahun ini, menurut Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). 

 

Pengerusi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata bagi tempoh itu, produk elektrik dan elektronik (E&E) menjadi penyumbang eksport terbesar ke China, dengan mencatatkan eksport bernilai RM44.5 bilion. 

 

Produk E&E membentuk 32.6 peratus daripada jumlah eksport negara ke ekonomi kedua terbesar dunia itu, katanya dalam ucaptama pada persidangan mempromosikan Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-21 di sini Isnin, Bernama melaporkan.

 

Sementara itu, import bernilai RM67.78 bilion terdiri daripada barangan pengantara bagi pembuatan produk untuk dieksport seperti produk E&E, jentera, peralatan dan alat ganti, serta bahan kimia dan produk berkaitan kimia.

 

China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dan sumber utama import tahun lepas, manakala Malaysia ialah rakan dagangan global ke-10 terbesar China serta rakan dagangan kedua terbesar dalam ASEAN, kata Reezal Merican.

 

Mengenai CAEXPO 2024, beliau berkata MATRADE menyasarkan 150 syarikat Malaysia menyertai acara itu yang akan diadakan dari 24-28 Sept tahun ini di Nanning, China.

 

“Tahun ini adalah istimewa untuk Malaysia, kerana kami telah dijemput untuk menjadi negara terhormat dan Pavilion Malaysia akan diberikan sorotan istimewa.

 

“Kami akan mempunyai pavilion yang jauh lebih besar, menyediakan ruang yang cukup untuk syarikat Malaysia mempamerkan rangkaian tawaran yang lebih luas,” katanya sambi menambah ekspo itu memberikan peluang keemasan kepada syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran China yang luas.

 

Pada CAEXPO tahun lepas, Pavilion Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencatatkan jumlah jualan RM625.42 juta dan menyaksikan tujuh memorandum persefahaman dimeterai untuk potensi jualan selanjutnya. - DagangNews.com