Pengeluar sarung tangan dijangka catat keputusan positif bagi suku pertama didorong peningkatan nilai eksport, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pengeluar sarung tangan dijangka catat keputusan positif bagi suku pertama didorong peningkatan nilai eksport, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 April - RHB Investment menjangkakan pengeluar sarung tangan mencatatkan keputusan positif bagi suku pertama tahun ini didorong oleh peningkatan dalam nilai eksport sebanyak 10% dan purata harga jualan (ASP) yang stabil pada kadar AS$20 bagi setiap 1,000 keping.

 

Pihaknya juga menjangkakan kos operasi meningkat lebih tinggi pada suku pertama dengan mengambil kira semakan tarif gas terkini (pertambahan antara 4%-5% pada Januari 2024), peningkatan harga getah asli dan akrilonitril tetapi diimbangi pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

 

"Bagaimanapun, Top Glove dijangka terus mencatatkan kerugian pada suku pertama selepas mengambil kira pendedahan tertinggi mereka dalam segmen sarung tangan lateks semula jadi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dinamik permintaan dan berkalan semakin menunjukkan tanda-tanda pemulihan kerana jumlah pesanan April dan Mei mencatatkan peningkatan ketara.

 

Katanya, normalisasi selanjutnya dalam tarif gas selain penstabilan ASP akan mendorong pengeluar sarung tangan meraih keuntungan pada tahun ini.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan aliran pemulihan permintaan yang bermakna menjelang separuh kedua 2024 sebelum pembuat sarung tangan memulakan semula pengembangan kapasiti pada 2025/2026," katanya.

 

RHB Investment menjangkakan risiko persaingan harga daripada pesaing China akan berkurangan secara beransur-ansur berdasarkan kebimbangan kualiti yang mengakibatkan kadar penolakan lebih tinggi daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) dan pendirian mereka ke arah kemampanan.

 

Katanya, pilihan utama dalam sektor itu ialah Riverstone Holdings Ltd, Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd.

 

"Bagaimanapun sektor itu berdepan beberapa risiko termasuk penurunan ASP, pemulihan permintaan yang lebih perlahan daripada jangkaan, kadar penggunaan lebih rendah daripada jangkaan dan harga bahan mentah lebih tinggi daripada jangkaan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor itu.- DagangNews.com