Untung bersih KLCCP lonjak 19% kepada RM931 juta bagi FY23, isytihar dividen interim keempat sebanyak 14.4 sen | DagangNews Skip to main content

Untung bersih KLCCP lonjak 19% kepada RM931 juta bagi FY23, isytihar dividen interim keempat sebanyak 14.4 sen

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - KLCCP Stapled Group mencatat keuntungan bersih sebanyak RM931 juta bagi tahun kewangan 2023 (FY23), melonjak 19% daripada RM782.7 juta tahun sebelumnya.

 

Syarikat pelaburan hartanah itu berkata, keuntungannya bertambah baik pada FY23 didorong oleh keuntungan nilai saksama yang ketara sebanyak RM221.9 juta berikutan peningkatan keseluruhan dalam nilai pasaran hartanah pelaburan.

 

Pendapatan kumpulan itu turut meningkat 11% kepada RM1.6 bilion pada FY23 berbanding RM1.46 bilion dalam tahun kewangan 2022 (FY22).

 

KLCCP mengisytiharkan dividen sebanyak 14.4 sen bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), menjadikan jumlah dividen FY23 berjumlah 40.50 sen. Kumpulan itu berkata dividen FY23 merupakan jumlah tertinggi sejak penyenaraiannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holdings Bhd, Datuk Md. Shah Mahmood berkata, momentum pertumbuhan kumpulan kukuh merentasi semua segmen, ditambah dengan tindakan strategik yang membolehkan ia menyampaikan prestasi terbaik pada 2023.

 

"Kami optimis peningkatan itu akan berterusan, terutamanya dalam segmen runcit dan hotel. Strategi yang memberi tumpuan kepada pelanggan berserta pertumbuhan aktiviti pelancongan dan MICE, akan meletakkan kami secara strategik untuk berusaha dan meningkatkan kelebihan daya saing ke arah kemampanan perniagaan pada masa hadapan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

KLCCP optimis bahawa aliran pertumbuhan untuk 2024 akan kekal positif kerana ia terus memanfaatkan aset ikoniknya, pengaturan pajakan jangka panjang dan tiga kali ganda, disokong oleh kedudukan kukuh segmen runcit dan hospitalitinya.

 

Di samping itu, katanya, prestasi Hotel MOKL yang lebih baik akan diteruskan dengan jangkaan pertumbuhan ketibaan pelancong, disokong oleh kerjsamanya di kawasan KLCC dan inisiatif promosi bagi mengukuhkan kepimpinan pasarannya.

 

Sementara itu, Suria KLCC kekal komited terhadap kemampanan penyewa, kecekapan operasi, inisiatif pemasaran dan program kesetiaan pelanggan untuk menarik pengunjung dan meningkatkan jualan penyewa.

 

KLCCP berkata, trajektori optimis ini akan terus disokong oleh daya tahan permintaan pengguna dan tekanan inflasi yang dijangka menyederhana tahun ini.  - DagangNews.com