Untung bersih CIMB melonjak 28.3% kepada RM6.98 bilion pada FY23, isytihar dividen 18.5 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih CIMB melonjak 28.3% kepada RM6.98 bilion pada FY23, isytihar dividen 18.5 sen sesaham

Datuk Abdul Rahman Ahmad mengumumkan keputusan kewangan CIMB bagi FY23 di Menara CIMB pada 29 Februari 2024. [Foto DagangNews/Naim Aziz]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Feb - CIMB Group Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih RM6.98 bilion bagi tahun kewangan 2023 (FY23), melonjak 28.3% daripada RM5.44 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan perbankan itu turut meningkat 14% kepada RM9.54 bilion, diterjemahkan kepada pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 65.5 sen dengan pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 10.7%, lebih tinggi daripada ROE 9% pada tahun sebelumnya.  

 

Pendapatan operasi kumpulan pada FY23 berkembang 5.9% YoY kepada RM21.01 bilion, didorong oleh pertumbuhan pendapatan bukan faedah (NOII) sebanyak 36.5% kepada RM6.39 bilion namun diimbangi oleh persekitaran pendapatan faedah bersih yang mencabar berikutan kenaikan kos deposit.

 

Sementara itu, jumlah pinjaman kasar, deposit dan CASA masing-masing berkembang kukuh, mencatatkan pertumbuhan 8.3%, 8.1% dan 11.5% tahun ke tahun.

 

Berikutan prestasi memberangsangkan itu, CIMB mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 18.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahunan kepada 36 sen sesaham. 

 

 

Sebagai sebahagian daripada strategi pengoptimuman modal kumpulan, dividen khas RM747 juta atau 7 sen sesaham telah diisytiharkan, menjadikan pembayaran dividen berjumlah RM4.59 bilion pada FY23.

 

Selepas dividen, kedudukan modal kumpulan kekal sihat dengan Nisbah Ekuiti Tier-1 (CET) kekal pada 14.5% setakat Disember 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berpuas hati dengan prestasi memberangsangkan itu yang disokong oleh kesan positif daripada pelaksanaan pelan strategik Forward23+, terutamanya dalam meningkatkan francais CASA dan kualiti aset secara mampan.

 

“Kami amat gembira dengan prestasi kewangan FY23 terutamanya dalam persekitaran NIM industri yang mencabar disebabkan oleh kos deposit lebih tinggi merentasi pasaran utama. Portfolio ASEAN kami yang pelbagai terus menjadi kunci, yang telah membantu kami menyampaikan pertumbuhan, sambil mengurangkan risiko penurunan dalam pasaran yang lebih lemah,” tambahnya.

 

 

Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Khairul Rifaie
(Dari kiri) Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Khairul Rifaie. [Foto DagangNews/Naim Aziz]

 

 

Prospek CIMB bagi FY24

Mengorak langkah ke tahun kewangan 2024 (FY24), CIMB Group menyasarkan jumlah pertumbuhan pinjaman antara 5% dan 7%, lebih rendah daripada 8.3% yang dicapai pada FY23.

 

Bagi ROE pula, CIMB menyasarkan pertumbuhan 10.5% hingga 11% daripada 10.7% yang dicapai pada FY23.

 

Abdul Rahman menjelaskan bahawa CIMB menyasarkan pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah agar ia boleh dicapai menerusi peningkatan deposit pada paras yang tidak menekan margin faedah bersih (NIM).

 

“Dari segi sasaran pertumbuhan pinjaman, kami tidak benar-benar terkekang oleh permintaan. Saya berpandangan bahawa permintaan pinjaman terus positif disokong pertumbuhan ekonomi.

 

“Jadi kami meletakkan sasaran pertumbuhan pinjaman yang boleh dicapai tanpa memberi tekanan kepada NIM,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas mengumumkan prestasi kewangan CIMB Bank bagi FY23 di Menara CIMB di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan CIMB, Khairul Rifaie menambah bahawa pemampatan NIM pada 2023, kumpulan itu merekodkan pemampatan MIN sebanyak sembilan mata asas yang didorong oleh dua pasaran, iaitu di Malaysia dan Indonesia.

 

 

Khairul Rifaie
Khairul Rifaie

 

 

“Di Malaysia, pemampatan NIM adalah berikutan persaingan deposit yang sangat sengit, terutamanya pada separuh pertama 2023. Kami telah mengambil beberapa tindakan dari segi menyederhanakan tekanan deposit menjelang separuh kedua 2023.

 

“Bagi tahun depan, di peringkat kumpulan, kami menjangkakan NIM akan stabil untuk berkembang kira-kira lima mata asas dan itu didorong terutamanya oleh pasaran Malaysia,” ujar beliau. - DagangNews.com