KUALA LUMPUR 5 Mac - Maybank Investment Bank menurunkan unjuran pendapatan Icon Offshore Berhad pada tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 47% dan 43% susulan prestasi FY23 tersasar daripada jangkaan.
Firma penyelidikan itu berkata, pelarasan pendapatan tersebut mengambil kira pengurangan andaian kadar penggunaan kepada 76% daripada 85%, dan andaian margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada 43% berbanding 45% untuk FY24-25.
Oleh itu, taraf saranan ke atas saham Icon Offshore diturunkan kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 71 sen sesaham berbanding RM1.19, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan FY25 tidak berubah sebanyak 12 kali, katanya dalam nota penyelidikan.
Penurunan kadar penggunaan telah mengakibatkan pembekal perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir (OSV) itu mencatat kerugian bersih teras berjumlah RM17.3 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), mengheret kerugian bersih keseluruhan FY23 kepada RM12.3 juta, berbanding jangkaan keuntungan bersih Maybank IB sebanyak RM5.8 juta.
“Ini disebabkan oleh kadar penggunaan FY23 yang lebih rendah pada 75% (berbanding jangkaan kami sebanyak 83%); kos kewangan lebih tinggi (111% QoQ); dan kadar cukai yang lebih tinggi daripada jangkaan.
“Kekurangan dalam kadar penggunaan campuran pada 4QFY23 berpunca daripada pembaikian dua kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) dan sebuah kapal sokongan platform (PSV) serta musim tengkujuh lemah bermusim yang memberi kesan kepada empat OSV pada suku tersebut (dua AHTS dan dua tongkang kerja penginapan (AWB),” ulasnya dalam nota penyelidikan tersebut.
Dari sudut positif, Maybank IB mendedahkan bahawa kadar sewa harian (DCR) terus dalam trend menaik pada 4QFY23 kepada RM42,200 berbanding RM41,500 bagi suku sebelumnya dan secara keseluruhan bagi FY23, ia berpurata pada RM40,500, lebih tinggi daripada anggaran firma sebanyak RM38,500.
Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa Icon perlu mendapat kontrak daripada program POV Petronas untuk menikmati kenaikan DCR jangka panjang dalam beberapa tahun akan datang bagi 11 OSV miliknya.
“Jika tidak, kami difahamkan bahawa 11 kapal ini akan bersaing dalam pasaran spot, yang mungkin bukan kebiasaan kumpulan tersebut memandangkan ia memerlukan lebih ketangkasan dan kecekapan dalam mengguna, menyelenggara dan menyewa aset ini,” tambahnya.
Setakat pukul 11:01 pagi ini, saham Icon Offshore telah menokok 0.5 sen atau 0.8% kepada 60 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM325 juta. - DagangNews.com







