UMW Toyota jual 10,931 unit pada Oktober, paras tertinggi dalam tempoh lima tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMW Toyota jual 10,931 unit pada Oktober, paras tertinggi dalam tempoh lima tahun

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengakhiri Oktober dengan pertumbuhan yang mampan, mencapai jumlah jualan bulanan sebanyak 10,931 unit, tertinggi dalam tempoh lima tahun lepas.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, pembuat kereta itu berkata angka tersebut terdiri daripada 10,709 unit untuk Toyota dan 222 unit untuk Lexus.

 

Setakat tahun ini, jualan syarikat berjumlah 87,422 unit berbanding 80,153 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Ini menandakan kenaikan 9.1% tahun ke tahun untuk 10 bulan pertama tahun ini.

 

Menyedari potensi dalam segmen MPV, UMW Toyota memperkenalkan Toyota Alphard dan Vellfire 2023, sekali gus mengukuhkan kedudukan Toyota sebagai nama utama dalam segmen tersebut.

 

"Model-model ini telah menetapkan penanda aras baharu untuk ciri termaju, menawarkan penyelesaian pengangkutan yang cekap dan mewah untuk individu yang menghargai kecanggihan, penambahbaikan reka bentuk dan teknologi canggih," katanya.

 

Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K. berkata dalam landskap automotif yang sentiasa berkembang, Alphard dan Vellfire merupakan mercu tanda inovasi dan kecanggihan.

 

"Mereka menetapkan piawaian baharu untuk kemewahan dan prestasi dalam segmen MPV, mencerminkan komitmen kami untuk mengeluarkan kenderaan luar biasa yang melebihi jangkaan," tambahnya.

 

Untuk meningkatkan jualan, UMW Toyota telah memperkenalkan pelbagai promosi untuk bulan November di bawah kempen ‘Raikan Simfoni Cahaya’. - DagangNews.com