UDA komited pacu kelestarian alam sekitar melalui kerjasama dengan JPNJ | DagangNews Skip to main content

UDA komited pacu kelestarian alam sekitar melalui kerjasama dengan JPNJ

UDA dan JPNJ bergambar bersama pengetua dari empat ‘Sekolah UDA Lestari’ yang menerima geran berjumlah RM5,000.00 bagi setiap sekolah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac - UDA Holdings Berhad menerusi anak syarikat UDA Land South Sdn Bhd dan Angsana Johor Bahru Mall, mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan usaha kelestarian alam sekitar melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, melalui perjanjian strategik tersebut, pihaknya berganding bahu bersama JPNJ dalam usaha menerapkan tanggungjawab dan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar serta melindungi sumber alam semula jadi khususnya kepada warga sekolah dan komuniti setempat. 

 

Katanya, kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak itu juga menjadi landasan untuk pemerkasaan latihan serta aktiviti yang selaras dengan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor.

 

"Menerusi usaha sama ini, UDA beriltizam untuk menyumbang kepada peningkatan pengetahuan dan kefahaman mengenai kepentingan pembangunan lestari seterusnya membangun kapasiti warga pendidik serta pelajar negeri Johor. 

 

"Kerjasama ini juga bertujuan menyokong Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor serta mendukung Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (PPMJ 2030) di peringkat sekolah," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut kenyataan itu, nota persefahaman (NoU) tersebut antara lain memfokuskan pada usaha memantau penglibatan dan pelaksanaan program pendidikan kelestarian serta menyelaras pencapaian penurunan karbon peringkat sekolah. 

 

Katanya, pada masa yang sama ia turut bertepatan dengan misi menanam kesedaran, memberi galakan serta motivasi bagi amalan dan budaya terbaik rendah karbon kepada warga pendidikan di Johor.

 

 

uda
Ketua Pegawai Operasi UDA Land South, Muhammad Ismail Dasuki (kiri) dan Pengarah JPNJ, Mohd Hanafi Samad, (kanan) menandatangani nota persefahaman sambil disaksikan oleh Datuk Sr Mohd Salem Kailany (belakang, kiri) dan Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor (belakang, kanan), Aznan Tamin.

 

 

Melalui pemeteraian NoU tersebut, UDA turut menyerahkan geran kepada empat ‘Sekolah UDA Lestari’ dari daerah Johor Bahru, katanya.

 

"Sekolah yang dipilih adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks UDA, SK Bandar UDA 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar UDA Utama dan SMK Bandar Baru UDA dengan masing-masing menerima bantuan berjumlah RM5,000 sahaja. 

 

"Pihak sekolah akan memanfaatkan geran tersebut dengan melaksanakaan pelbagai aktiviti seperti kutipan minyak masak terpakai, kutipan baju terpakai, tanaman pokok atau berkebun dan sebagainya," katanya.

 

 

uda

 

 

Katanya, pelbagai program bakal dijalankan seperti Hari Anugerah Pendidikan Kelestarian Johor 2024, bengkel latihan berasakan pembelajaran melalui pengalaman, ‘Experiential Learning – Guru Champion’ dan aktiviti kebajikan melalui sumbangan asnaf pada bulan Ramadan kepada sekolah-sekolah terpilih.

 

Selain itu katanya, turut diadakan bengkel pembangunan kapasiti Guru Champion UDA yang akan melibatkan guru-guru melalui empat siri bengkel mengenai pengurusan kelestarian alam sekitar. - DagangNews.com