UCSI, BCSD Malaysia jalin kerjasama perkukuh inisiatif ESG | DagangNews Skip to main content

UCSI, BCSD Malaysia jalin kerjasama perkukuh inisiatif ESG

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Universiti UCSI dan Business Council for Sustainable Development (BCSD) Malaysia Bhd menjalin kerjasama untuk membantu memperkukuhkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di dalam institusi mereka.

 

Kedua-dua pihak kini akan bersama-sama membangunkan dan melancarkan kursus pendek, program latihan tersuai dan inisiatif pembinaan kapasiti yang menggalakkan kemampanan korporat.

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pascasiswazah) UCSI, Prof Dr Phang Siew Moi berkata, kebanyakan organisasi ingin meningkatkan metrik ESG mereka tetapi ramai yang masih tidak tahu cara untuk melakukannya.

 

"Kerjasama UCSI dan BCSD mampu memenuhi keperluan pasaran kini. Ia bakal menghasilkan inovasi tulen yang akan membantu institusi memenuhi komitmen ESG mereka selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian antara kedua-dua pihak di kampus UCSI Kuala Lumpur.

 

Pengarah dan Pengasas BCSD, Roberto Benetello pula berkata, perjanjian itu akan menangani jurang bakat yang dihadapi institusi dan organisasi apabila ia melibatkan usaha kemampanan.

 

Katanya, dengan trend ESG semakin meningkat di peringkat global, permintaan pekerjaan hijau juga menunjukkan peningkatan.

 

"Bagaimanapun, terdapat kekurangan tenaga kerja yang berkemahiran dalam bidang ESG kerana banyak universiti tidak menekankan perkara ini.

 

 

UCSI

 

 

"Menerusi kerjasama dengan UCSI, kami akan meningkatkan lagi kesedaran terhadap ESG bukan sahaja kepada pelajar, tetapi kepada golongan profesional, penggiat industri dan orang ramai," katanya.

 

UCSI disenaraikan sebagai salah satu universiti swasta terbaik di Asia dalam QS World University Rankings 2024.

 

UCSI memperoleh markah tertinggi dalam kriteria kemampanan dalam kalangan semua universiti swasta di Malaysia di dalam penilaian tahunan yang kompetitif.

 

UCSI juga merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang mempunyai dua Pusat Kepakaran Serantau (RCE) untuk mempromosikan pembangunan mampan di peringkat tempatan oleh Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - cabang akademik dan penyelidikan PBB.

 

Berpusat di Kuala Lumpur dan Kuching, kedua-dua RCE mempromosikan Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6), Bandar dan Komuniti Lestari (SDG 11), Tindakan Iklim (SDG 13), Kehidupan di Tanah (SDG 15), serta Institusi Keamanan, Keadilan dan Kuat (SDG 16). - DagangNews.com