Yinson Production berjaya terbitkan bon projek AS$1.168 bilion bagi pembiayaan semula FPSO Maria Quitéria | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson Production berjaya terbitkan bon projek AS$1.168 bilion bagi pembiayaan semula FPSO Maria Quitéria

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 6 Julai – Yinson Production mengumumkan kejayaan penempatan bon projek bernilai AS$1.168 bilion (kira-kira RM5.5 bilion) menerusi terbitan senior secured notes 144A/Reg S oleh Yinson Bergenia Production B.V.

 

Syarikat penerbit tersebut memiliki kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Maria Quitéria yang kini beroperasi di bawah kontrak pajakan dan operasi selama 22.5 tahun bersama Petrobras di lapangan Jubarte, luar pesisir Brazil.

 

Bon tersebut adalah bersifat amortisasi sepenuhnya dengan tempoh matang akhir selama 19.6 tahun. Ia ditetapkan pada kadar kupon tetap 8.498% setahun yang dibayar secara separa tahunan.

 

Hasil terbitan ini akan digunakan, antara lain, bagi membiayai semula hutang sedia ada berkaitan FPSO tersebut, menambah dana dalam akaun simpanan seperti yang dikehendaki di bawah terbitan bon baharu ini (kecuali jika dibiayai melalui surat kredit), membayar yuran dan perbelanjaan berkaitan urus niaga serta untuk pengagihan kepada Yinson Production selaku pemegang saham penerbit.

 

Bon tersebut dijadual diselesaikan pada 7 Julai 2025 dan seterusnya disenaraikan di London Stock Exchange’s International Securities Market di bawah simbol Bloomberg YPMQBR.

 

 

Maria Quitéria

 

 

Agensi penarafan antarabangsa Moody’s dan Fitch masing-masing telah memberikan penarafan kredit Ba1 dan BB+ kepada bon ini, mencerminkan asas kredit kukuh FPSO Maria Quitéria serta kepentingan strategik aset tersebut kepada Petrobras.

 

Citigroup dan J.P. Morgan bertindak selaku Penyelaras Global bagi tawaran ini. HSBC, ING, Santander dan Standard Chartered Bank pula bertindak sebagai Pengurus Buku Bersama, manakala Bladex, MUFG, Natixis, Ramirez & Co., Inc serta Société Générale Corporate & Investment Banking berperanan sebagai Pengurus Bersama.

 

Firma guaman Norton Rose Fulbright dan Clifford Chance masing-masing menjadi penasihat undang-undang kepada penerbit dan pembeli awal.

 

Ketua Pegawai Kewangan Yinson Production, Markus Wenker berkata, “Kejayaan penempatan bon projek ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan kami di pasaran modal antarabangsa dan menetapkan penanda aras baharu dalam industri – sebagai bon projek FPSO terbesar dan bertempoh paling panjang pernah diterbitkan.

 

“Permintaan yang sangat memberangsangkan ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap platform kami, strategi kami serta kekuatan projek asas ini.

 

"Dengan terbitan bon ini, kami terus memperkukuh struktur modal Yinson Production dan mencipta nilai jangka panjang, sambil menawarkan pelabur pendedahan kepada aset berkualiti tinggi yang dilengkapi perlindungan kukuh dan struktur pelaburan yang tiada had dalam kategori pelaburan gred,” kata beliau. - DagangNews.com