KUALA LUMPUR 22 Julai - Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan kebocoran data peribadinya dengan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Maxis serta membuat tiga laporan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Menerusi hantaran di platform Threads pada Rabu, Khairul Aming memaklumkan peguamnya telah mengemukakan LOD kepada syarikat telekomunikasi itu selain membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata, laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.
Selain itu, satu lagi laporan turut dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadinya.
"Peguam-peguam saya akan mengambil alih kes ini sehingga selesai, sejujurnya saya rasa sedih dan seram kerana semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang.
"Butiran telefon, sejarah pembayaran, rekod langganan sehingga nombor kad pengenalan yang boleh mengakses MySara, semuanya bocor," katanya.
Sebelum ini, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana butiran bil telefon peribadinya boleh diketahui individu lain sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.
Menerusi satu hantaran terdahulu di Threads, beliau turut menuntut penjelasan daripada pihak Maxis berhubung dakwaan kebocoran maklumat tersebut yang dikaitkan dengan seorang pengguna media sosial.
Maxis Kesan Individu
Sementara itu Maxis dilaporkan sudah mengenal pasti individu yang disyaki bertanggungjawab membocorkan maklumat bil telefon milik Khairul Aming.
Syarikat telekomunikasi itu menyifatkan insiden itu sebagai `kes terpencil' membabitkan akses tanpa kebenaran dan mengesahkan tindakan undang-undang sedang diambil.
Katanya, siasatan dalaman berjaya mengenal pasti identiti individu yang dikaitkan dengan insiden berkenaan dan tindakan segera sedang dilaksanakan bagi menangani pelanggaran tersebut.
"Hasil siasatan kami menunjukkan ini merupakan `insiden terpencil' yang membabitkan tindakan tanpa kebenaran. Tiada sebarang petunjuk bahawa insiden ini melibatkan pelanggan lain," kata Maxis dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








