KUALA LUMPUR 22 Julai – Mydin Wholesale Cash and Carry Sdn Bhd menerima pembiayaan patuh Syariah berjumlah RM105 juta bagi menyokong pengembangan rangkaian peruncitannya termasuk memperluaskan akses pengguna kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
Pembiayaan yang diluluskan oleh MBSB Bank Berhad itu akan digunakan bagi beberapa keperluan utama, termasuk pengambilalihan hartanah pasar raya besar sedia ada di Sandakan, Sabah, pembangunan pasar raya besar baharu bersaiz sederhana di Tanah Merah, Kelantan, selain menyokong keperluan modal kerja dan pembiayaan sampingan.
Langkah pengembangan berkenaan dijangka memperkukuh kehadiran Mydin di Sabah dan Kelantan menerusi penambahan kemudahan peruncitan baharu serta pengambilalihan lokasi strategik yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Perluas Akses Barangan Mampu Milik, Sokong Ekonomi Setempat
Pasar raya baharu di Tanah Merah itu akan dilengkapi ciri operasi yang lebih cekap dan menjimatkan tenaga, selaras dengan usaha Mydin menerapkan amalan perniagaan mampan dalam pengurusan operasinya.
Kemudahan berkenaan juga dijangka meningkatkan keselesaan pelanggan selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kemudahan peruncitan moden di kawasan tersebut.
Pengembangan rangkaian Mydin bukan sahaja memberi pilihan lebih luas kepada pengguna, malah turut membuka peluang pekerjaan, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta vendor tempatan yang menjadi sebahagian daripada ekosistem perniagaan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, pembiayaan itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam menyokong syarikat tempatan yang mempunyai asas perniagaan kukuh serta hala tuju pertumbuhan yang jelas.
Beliau berkata, Mydin telah membina jenama yang dipercayai sepanjang lebih tiga dekad dan pembiayaan tersebut akan membantu syarikat itu terus berkembang, sekali gus memberi nilai lebih besar kepada pelanggan serta masyarakat di seluruh negara.
Mydin Kukuhkan Kehadiran Di Lokasi Strategik
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali Mydin berkata, pembiayaan berkenaan membolehkan syarikat memperkukuh kehadiran di lokasi strategik selain meningkatkan keupayaan memenuhi keperluan komuniti yang semakin berkembang khususnya di Sabah dan Kelantan.
Menurut beliau, pelaburan baharu itu bukan sahaja akan menambah baik kemudahan untuk pelanggan, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan serta menyokong usahawan dan vendor tempatan di kawasan operasi Mydin.
“Kerjasama ini akan membantu kami mengembangkan perniagaan secara mampan dan bertanggungjawab, di samping terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.
Sebagai antara rangkaian peruncitan milik tempatan terbesar di Malaysia, Mydin kini mengendalikan 83 cawangan di seluruh negara menerusi pelbagai format peruncitan termasuk pasar raya besar, pasar raya dan kedai serbaneka.
Mydin menyediakan pelbagai produk keperluan harian yang diperakui halal kepada jutaan rakyat Malaysia, selain menyokong ribuan pembekal serta perniagaan tempatan melalui rangkaian bekalannya.
Dengan pengembangan baharu ini, Mydin dijangka terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor peruncitan domestik menerusi penyediaan barangan mampu milik, peluasan peluang ekonomi serta pembangunan komuniti di kawasan operasinya. - DagangNews.com








