KUALA TERENGGANU 3 Mac – Yayasan PETRONAS meneruskan komitmen kebajikannya dengan mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada 4,850 keluarga di 13 negeri serta dua Wilayah Persekutuan dengan jumlah keseluruhan sumbangan hampir RM1 juta menerusi Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2026.
Di Pantai Timur, sebanyak 1,250 keluarga kurang berkemampuan di Pantai Timur telah dipilih sebagai penerima manfaat program tersebut.
Daripada jumlah itu, sebanyak 450 keluarga di Terengganu dipilih dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan bantuan disalurkan secara bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Mohd Azmi Mohamad Daham.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim.
Mohammad Ahmad Shazly berkata pada tahun ini, penerima sumbangan melibatkan enam daerah terpilih iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
"Setiap keluarga menerima pek perayaan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, bihun, garam, kari ayam dalam tin, teh dan minuman coklat.
"Selain itu, bakul sumbangan turut dilengkapi barangan bertemakan perayaan termasuk kacang tanah, biskut raya, beras pulut, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang bagi membantu persiapan Aidilfitri," katanya.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Yayasan PETRONAS dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Beliau berkata Program Memacu Kehidupan Aidilfitri ini diharap dapat membawa kegembiraan serta sedikit kelegaan kepada para penerima dan keluarga.
"Program tahunan ini merupakan sebahagian daripada fokus Yayasan PETRONAS dalam aspek kesejahteraan dan pembangunan komuniti, sejajar dengan tiga teras utama di bawah Pengurusan Impak Sosial PETRONAS iaitu Memacu Kehidupan, Memperkasakan Ilmu dan Menyemai Masa Hadapan," katanya.
Yayasan PETRONAS merupakan cabang impak sosial PETRONAS yang memfokuskan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup serta taraf sosioekonomi masyarakat menerusi bidang pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti serta alam sekitar. - DagangNews.com








