KUALA LUMPUR 25 Feb – Worldwide Holdings Berhad, sebuah syarikat konglomerat anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menunaikan tanggungjawab pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun kewangan 2026 (haul 2025).
Majlis penyerahan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersempena Majlis Ihya Ramadan.
Majlis DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat Tahun 2026M/1447H itu berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Norazlina berkata sejak mula beroperasi, Worldwide Holdings sentiasa memberi keutamaan kepada pembayaran zakat perniagaan dengan niat memperoleh keberkatan terhadap pendapatan tahunan syarikat, di samping menunaikan kewajipan serta komitmen sebagai entiti perniagaan tempatan.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu LZS merealisasikan serta memperkukuh perancangan mereka, khususnya dalam pembangunan sosioekonomi rakyat di Selangor,” katanya.
Seiring dengan peranan LZS, Worldwide Holdings turut komited dalam menyokong pembangunan sosioekonomi rakyat Selangor menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Worldwide Prihatin’.
Antara inisiatif terbaharu yang dirangka sempena Ramadan kali ini ialah program turun padang bagi mengagihkan sumbangan kepada asnaf fakir miskin di sekitar kawasan operasi projek serta agihan kepada masjid dan surau.
Beliau berkata Worldwide Holdings juga memperuntukkan sebahagian dana bagi melaksanakan program berteraskan pendidikan dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), di samping bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bagi penganjuran pesta buku.
“Selaras dengan tema ‘Pendidikan’ yang merupakan antara teras utama program Worldwide Prihatin, kami berharap inisiatif yang dilaksanakan akan mendorong penglibatan lebih aktif syarikat dalam usaha meningkatkan taraf serta kualiti hidup rakyat menerusi aspek pendidikan, khususnya di Negeri Selangor.
“Kami percaya pelaburan berterusan dalam pendidikan bukan sahaja mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing dan mampan,” katanya.
Worldwide Holdings diiktiraf secara meluas sebagai peneraju dalam sektor tenaga dan pengurusan alam sekitar, serta merupakan antara pemain utama dalam pembangunan hartanah di Lembah Klang. - DagangNews.com








