Wasco catat hasil RM2.6 bilion pada FY25, cadang dividen 4 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasco catat hasil RM2.6 bilion pada FY25, cadang dividen 4 sen sesaham

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb – Wasco Berhad mencatat hasil sebanyak RM2.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM198.1 juta, manakala keuntungan bersih dicatatkan sebanyak RM158.3 juta.

 

Wasco berkata, ini adalah tahun ketiga berturut-turut kumpulan itu berada dalam kedudukan menguntungkan meskipun berdepan persekitaran industri berasaskan projek yang mencabar.

 

“Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 4.9% kepada RM160.5 juta berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan prestasi operasi yang lebih stabil serta disiplin kos yang konsisten sepanjang tahun.

 

“Prestasi lebih memberangsangkan dicatatkan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025 apabila keuntungan meningkat ketara meskipun hasil menyusut sedikit 1.3% kepada RM592.4 juta berbanding suku sebelumnya,” kata Wasco dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi tempoh itu, keuntungan kasar melonjak 54.8% kepada RM142.1 juta, manakala PBT meningkat 69.7% kepada RM71.9 juta, didorong oleh pelaksanaan projek bermargin lebih tinggi serta kawalan kos yang berkesan.

 

Keuntungan bersih suku keempat turut meningkat 67.8% kepada RM57.3 juta, sementara PATAMI bertambah 63.1% kepada RM56.5 juta, mencerminkan pemulihan margin yang kukuh menjelang penutup tahun kewangan.

 

t
Giancarlo Maccagno

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Giancarlo Maccagno berkata, pencapaian keuntungan terkumpul sebanyak RM470 juta sepanjang tiga tahun berturut-turut membuktikan kemampanan model perniagaan kumpulan serta disiplin operasi yang diterapkan secara konsisten.

 

“Dengan kedudukan tunai bersih serta pembayaran dividen yang berterusan, termasuk dividen khas pada tahun ini, kami menunjukkan keyakinan terhadap kemampanan keuntungan kami. 

 

“Pada masa yang sama, skor Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia kami meningkat kepada 4.4 berbanding 4.1 sebelum ini, termasuk pencapaian skor maksimum 5.0 bagi tema Sosial.

 

“Peningkatan itu mencerminkan pengukuhan pengawasan tadbir urus serta penekanan berterusan terhadap piawaian buruh, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab, sekali gus membuktikan organisasi mampu menjana pulangan mampan kepada pemegang saham dengan beroperasi secara beretika dan lestari,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Seiring dengan prestasi tersebut, lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak 3 sen sesaham serta dividen khas 1 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen 4 sen sesaham pada FY2025.

 

Cadangan dividen itu disokong oleh kedudukan tunai bersih kumpulan sebanyak RM49.2 juta setakat 31 Disember 2025, sekali gus memperkukuh fleksibiliti kewangan untuk menyokong pertumbuhan dan pulangan kepada pemegang saham.

 

Dari segi operasi, Bahagian Perkhidmatan Tenaga kekal menjadi penyumbang utama dengan hasil RM2.3 bilion dan PBT RM189.9 juta bagi FY2025, disokong pelaksanaan projek merangkumi kerja kejuruteraan, fabrikasi modular, pencawang serta salutan paip di Asia, Timur Tengah dan Afrika.

 

Sementara itu, Bahagian Perkhidmatan Biotenaga menyumbang hasil RM28.9 juta sebelum penyenaraian Wasco Greenergy pada Disember 2025, yang kini beroperasi sebagai entiti tersenarai berasingan.

 

Dalam aspek kelestarian, skor kumpulan dalam FTSE4Good Bursa Malaysia Index meningkat kepada 4.4 berbanding 4.1 sebelum ini, mencerminkan pengukuhan amalan tadbir urus, alam sekitar dan tanggungjawab sosial.

 

Sehingga akhir Disember 2025, buku tempahan kumpulan berjumlah RM2.8 bilion dengan buku tender sebanyak RM12 bilion, menyediakan keterlihatan pendapatan yang jelas memasuki FY2026.- DagangNews.com